PETALING JAYA: Kebimbangan terhadap persaraan semakin ketara apabila separuh rakyat Malaysia berusia bawah 55 tahun mengakui simpanan yang ada tidak mencukupi untuk menampung kehidupan selepas berhenti kerja.
Menurut Tinjauan Asia Care (ACS) 2025 oleh Manulife Malaysia hakikat ini mencerminkan jurang besar antara aspirasi dan realiti kewangan rakyat Malaysia hari ini.
Sementara itu, tekanan kewangan menjadi punca lebih separuh rakyat Malaysia bimbang mereka akan kehabisan wang sebelum meninggal dunia.
ACS 2025 mendapati kebergantungan besar kepada wang tunai dan skim persaraan awam berisiko terhadap daya tahan kewangan dalam jangka panjang.
Tinjauan tersebut turut menunjukkan kewangan menjadi faktor penting dalam menentukan kualiti hidup dengan tujuh daripada 10 responden mengakui keadaan kewangan memberi kesan langsung terhadap kesihatan mental, fizikal serta jangka hayat.
Ketua Pegawai Eksekutif Manulife Malaysia, Vibha Coburn berkata, rakyat kini lebih cenderung mengutamakan kehidupan berkualiti daripada sekadar hidup lebih lama.
“Peranan kami adalah memudahkan keputusan dengan menghubungkan keyakinan kewangan dan kesihatan, agar orang ramai dapat menikmati kehidupan yang lebih baik, bukan sekadar lebih panjang.
“Kajian turut mendedahkan hampir 80 peratus rakyat Malaysia mentakrifkan sihat sebagai keupayaan untuk kekal berdikari manakala hanya segelintir yang menilai kesihatan semata-mata sebagai bebas daripada penyakit,” katanya semasa taklimat media pengumuman dapatan ACS 2025 di sini semalam.
Namun, kebimbangan kewangan kekal tinggi apabila hampir 50 peratus responden daripada 1,000 rakyat Malaysia bimbang kehabisan wang sebelum meninggal dunia manakala lebih 60 peratus menjangkakan bergantung kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan perkhidmatan kesihatan awam selepas bersara.
Tinjauan itu mendapati tahap kebergantungan tersebut mencerminkan kebimbangan terhadap daya tahan kewangan jangka panjang masyarakat Malaysia hari ini.
Hanya sebilangan kecil responden mahu memanjangkan hayat walau apa pun kosnya manakala majoriti lebih menitikberatkan kesihatan, kebebasan dan matlamat hidup selepas bersara.
Malah, jangka hayat ideal yang diinginkan oleh rakyat Malaysia ialah 68 tahun jauh lebih rendah berbanding purata jangka hayat negara iaitu 76 tahun, menggambarkan keutamaan terhadap kehidupan berkualiti berbanding sekadar menambah tahun hidup. – UTUSAN










