Lapan fasiliti kesihatan Sabah kembali beroperasi

Lapan fasiliti kesihatan Sabah kembali beroperasi

Dr. Dzulkefly Ahmad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak lapan daripada sembilan fasiliti kesihatan yang terjejas akibat banjir di Sabah kembali beroperasi sepenuhnya pada 19 September lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, satu lagi iaitu Klinik Kesihatan Membakut masih dalam proses pembersihan namun perkhidmatannya dipindahkan sementara ke Klinik Kesihatan Bongawan.

“Antara fasiliti yang telah beroperasi semula ialah Klinik Desa (KD) Gadong, KD Padas Lamit, KD Bangkalalak, KD Ling dan KD Sinoko di Beaufort; KD Gadong Papar serta KD Pantai di Papar selain KD Mendulong di Sipitang,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera di sini hari ini.

Dalam pada itu, mengulas situasi banjir, Dzulkefly berkata, jumlah keseluruhan mangsa banjir yang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) seramai 1,261 orang melibatkan daerah Papar dan Membakut.

Daripada jumlah itu, sebanyak 458 mangsa berada di tiga PPS di Papar manakala 532 mangsa ditempatkan di empat PPS di Membakut.

Katanya lagi, trend pemindahan menunjukkan penurunan berbanding hari sebelumnya dan kementerian akan terus memantau situasi semasa bagi memastikan semua fasiliti kesihatan kembali beroperasi sepenuhnya dalam masa terdekat. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN