427 fasiliti kesihatan perkasa akses di pedalaman Sabah, Sarawak 

427 fasiliti kesihatan perkasa akses di pedalaman Sabah, Sarawak 

HANIFAH HAJAR TAIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kira-kira 427 fasiliti kesihatan primer kini beroperasi di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah serta Sarawak bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, saksama dan berterusan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, antara usaha yang dilaksanakan ialah memperkukuh Perkhidmatan Klinik Bergerak (PKB) melalui pengangkutan darat, air dan udara mengikut kesesuaian geografi.

“Sehingga kini, PKB telah memberi manfaat kepada hampir 66,000 penduduk di Sabah melalui lawatan ke 416 lokaliti, manakala di Sarawak, perkhidmatan ini telah memberi manfaat kepada hampir 95,000 penduduk melalui lawatan ke 1,031 lokaliti,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Anna Bell @ Suzieana Perian mengenai usaha kerajaan memastikan perkhidmatan kesihatan sampai ke kawasan terpencil termasuk kawasan jajaran pulau dan pedalaman yang sukar diakses di Sabah serta Sarawak.

Hanifah berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) turut memperkukuh pendigitalan perkhidmatan kesihatan secara berperingkat meskipun masih berdepan kekangan liputan internet dan infrastruktur telekomunikasi di beberapa kawasan pedalaman.

Katanya, antara inisiatif yang dilaksanakan ialah penyediaan perkhidmatan telekonsultasi di 34 Klinik Kesihatan di Sabah dan 48 Klinik Kesihatan di Sarawak selain penggunaan Electronic Medical Records (EMR) menerusi Cloud-Based Clinic Management System (CCMS).

“Setakat ini, sistem CCMS telah dilaksanakan di 142 Klinik Kesihatan di Sarawak dan sembilan Klinik Kesihatan di Sabah. Semua klinik kesihatan di seluruh Malaysia dijangka dilengkapi dengan sistem CCMS menjelang hujung 2028,” katanya.

Beliau berkata, KKM juga memperkukuh penglibatan komuniti menerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan (PPKK), Wakil Kesihatan Kampung (WKK) dan Sukarelawan Penjagaan Kesihatan Asas (SPKA) bagi menyokong promosi kesihatan serta penyampaian perkhidmatan di peringkat komuniti.

Katanya, sehingga kini sebanyak 650 PPKK dan 304 SPKA khusus bagi kawalan malaria telah ditubuhkan di Sabah, manakala 1,035 PPKK dan 561 WKK telah dilatih di Sarawak.

“Saya juga sedang melaksanakan Inisiatif Jelajah Kesihatan Borneo sejak awal tahun ini bagi menilai secara rapat kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan  yang disediakan kepada rakyat Sabah dan Sarawak supaya berada pada tahap optimum.

“Antaranya ialah di Tuaran, Putatan, Penampang di Sabah dan Bahagian Kuching, Kota Samarahan, Miri, Mukah bagi di Sarawak.

“KKM akan terus memastikan aspek perancangan sumber manusia, perolehan aset, pembangunan infrastruktur serta kerja naik taraf kemudahan dan fasiliti kesihatan diberi keutamaan bagi memastikan akses dan ekuiti perkhidmatan kesihatan dapat dinikmati oleh rakyat di pedalaman Sabah dan Sarawak,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN