KPDN tingkat pemantauan di stesen minyak berhampiran sempadan Singapura

KPDN tingkat pemantauan di stesen minyak berhampiran sempadan Singapura

LILIS Saslinda Pornomo (kiri) melihat orang ramai mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Jalan Yahya Awal, Johor Bahru, Johor hari ini.-UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pemantauan terhadap stesen-stesen minyak berhampiran sempadan antara Malaysia dan Singapura di bandar raya ini akan ditingkatkan bagi memastikan larangan pengisian petrol bersubsidi RON95 oleh kenderaan asing dipatuhi.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, langkah itu dibuat susulan pelaksanaan program subsidi bersasar BUDIi95 yang bermula hari ini.

Katanya, KPDN Johor komited mengelakkan sebarang bentuk manipulasi atau penyelewengan subsidi petrol itu berlaku khususnya di kawasan sempadan antarabangsa di negeri ini.

“Pemantauan secara berkala akan dilaksanakan melalui rondaan dan juga kerjasama orang awam, kerana agak mustahil untuk menempatkan pegawai penguatkuasa di setiap stesen minyak berdasarkan kekuatan anggota dan pegawai yang ada.

“Pada masa sama, pengusaha-pengusaha stesen minyak juga perlu memastikan tiada kenderaan asing mengisi RON95 di premis mereka,” katanya ketika sesi walkabout yang diadakan di Stesen Minyak Petronas di Jalan Yahya Awal, di sini hari ini.

Tambah Lilis Saslinda, larangan pengisian RON95 oleh kenderaan dan juga warga asing telah dimaklumkan kepada pihak berkuasa negara-negara berjiran.

“Negara jiran sama ada Singapura atau Thailand juga sudah dimaklumkan berhubung perkara ini, iaitu kita akan bertegas iaitu rakyat mereka hanya dibenarkan mengisi RON97,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN