KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Selangor, Wayne Ong Chun Wei mengumumkan pengunduran dirinya selepas tiga tahun memegang jawatan itu sekali gus menyerahkan amanah kepemimpinan sayap berkenaan kepada barisan baharu.
Beliau berkata, perjalanan sepanjang menerajui DAPSY Selangor bukanlah sesuatu yang mudah kerana berdepan dengan pelbagai cabaran, kritikan dan kekangan.
Katanya, semangat persahabatan serta setiakawan yang ditunjukkan semua ahli merupakan perkara yang amat dihargainya sepanjang menggalas tanggungjawab tersebut.
“DAPSY Selangor bukan sekadar sebuah organisasi tetapi keluarga yang melahirkan pemimpin muda, menggilap bakat dan menjadi suara anak muda di Selangor.
“Hari ini kita bangga kerana seramai 23 orang ahli majlis daripada DAPSY sedang berkhidmat di seluruh Selangor. Inilah bukti bahawa suara dan tenaga anak muda terus dihargai serta diiktiraf,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Konvensyen Biasa Negeri Wanita dan DAPSY Selangor 2025 di Ibu Pejabat Kebangsaan DAP, di sini hari ini.
Ong Chun Wei berkata, beliau percaya kepemimpinan baharu mampu membawa Pemuda DAPSY Selangor ke tahap lebih tinggi, segar, berani dan lebih dekat di hati rakyat.
“Walaupun saya tidak lagi berada di hadapan sebagai ketua, saya tetap akan berdiri bersama anda semua kerana perjuangan ini bukan milik seorang tetapi milik kita bersama.
“Kita akan terus menyokong, membantu dan berjuang demi cita-cita untuk sebuah Malaysia yang adil, inklusif dan demokratik,” katanya.
Mengulas lanjut, Ong Chun Wei berkata, kepemimpinan baharu Pemuda DAPSY Selangor dibarisi oleh pasukan yang lahir dengan formula permuafakatan dan semangat bersatu.
Katanya, semangat itu perlu diteruskan kerana musuh sebenar yang harus ditentang bukanlah perpecahan dalaman parti, sebaliknya rasisme dan ekstremisme yang masih cuba meracuni masyarakat.
“Kita mesti ingat, musuh sebenar kita bukanlah sesama sendiri di dalam rumah tetapi rasisme dan ekstremisme yang masih cuba meracuni masyarakat. Selagi kita bersatu, tiada apa yang dapat memecahkan perjuangan ini,” katanya.
Menurutnya, DAPSY Selangor turut berbangga kerana mempunyai wakil Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan (NEC) paling ramai di DAPSY Kebangsaan selama dua penggal berturut-turut.
Katanya, kekuatan itu membuktikan komitmen DAPSY Selangor terhadap parti dan perjuangan anak muda.
“Dengan kekuatan ini, kita akan terus menjadi tulang belakang serta memberikan sokongan padu untuk menjayakan aspirasi DAPSY Kebangsaan khususnya dalam memperjuangkan suara dan masa depan anak-anak muda di negara ini.
“Ahli-ahli DAPSY berdiri teguh bersama saya ketika saya menjadi calon dalam Pilihan Raya Negeri di DUN Balakong. Dengan tenaga muda, semangat tanpa mengenal penat, anda semua membantu saya turun ke setiap kampung, setiap taman, setiap pintu rumah dan dengan izin Tuhan serta berkat usaha kita bersama, kita menang dalam perjuangan itu,” katanya. – UTUSAN










