KUALA LUMPUR: DAP Selangor memberi jaminan akan meningkatkan lantikan wanita sebagai ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) sehingga melebihi 30 peratus bagi memperkukuh peranan golongan itu dalam pentadbiran negeri.
Ketua Wanita DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching berkata, jaminan itu diberikan oleh Pengerusi DAP Selangor dan diyakini mampu membuka lebih banyak ruang kepada wanita dalam kepimpinan di peringkat negeri.
Katanya, pencapaian itu menjadi bukti bahawa penyertaan wanita dalam politik bukan sahaja diterima, malah semakin berkembang seiring dengan matlamat parti.
“Saya juga telah mendapat jaminan daripada Pengerusi DAP Selangor bahawa di Selangor kita akan melihat semakin ramai ahli majlis wanita dilantik, malah mencapai lebih daripada 30 peratus.
“Ini bermakna kita boleh melihat lebih ramai lagi ahli wanita DAP menjadi wakil rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Konvensyen Biasa Negeri Wanita dan DAPSY Selangor 2025 di Ibu Pejabat Kebangsaan DAP di sini hari ini.
Nie Ching yang juga Timbalan Menteri Komunikasi berkata, DAP sentiasa menjadi parti yang konsisten dalam memperjuangkan penglibatan wanita termasuk dalam kalangan wakil rakyat.
Katanya, berdasarkan rekod semasa, penyertaan wanita dalam Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing mencatatkan sekitar 25 peratus.
“Di Parlimen, daripada 40 orang Ahli Parlimen DAP, 10 orang adalah wanita. Untuk ADUN juga sama, daripada 90 ADUN, 23 orang adalah wanita. Itu juga sekitar 25 peratus.
“Namun, jangan kita anggap itu adalah jumlah maksimum kerana dalam keahlian DAP, 40 peratus adalah wanita. Ini bermakna kita boleh melihat lebih ramai lagi ahli wanita DAP menjadi wakil rakyat,” katanya.
Menurut beliau, DAP juga mencatat rekod lebih baik berbanding parti lain apabila mempunyai jumlah Ahli Parlimen wanita tertinggi.
Katanya, rekod itu jelas membuktikan DAP berada lebih ke hadapan berbanding parti-parti lain dari segi memperkasakan wanita.
“Kita memang patut berasa bangga kerana berbanding parti-parti lain, DAP mempunyai rekod terbaik dalam memperkasakan wanita. Dari segi peratusan Ahli Parlimen wanita, DAP adalah antara yang tertinggi.
“Walaupun DAP bukan parti terbesar di Parlimen, namun parti lain yang mempunyai lebih ramai Ahli Parlimen masih gagal melahirkan bilangan wanita yang setara,” katanya. – UTUSAN










