Kerajaan Negeri Sembilan nafi terlibat batal ceramah Ustaz Wadi Annuar

Kerajaan Negeri Sembilan nafi terlibat batal ceramah Ustaz Wadi Annuar

AMINUDDIN Harun pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, Seremban hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Isu pembatalan ceramah pendakwah terkenal, Ustaz Wadi Annuar di Masjid Sri Sendayan pada Sabtu ini tidak ada kaitan dengan kerajaan negeri, sebaliknya merupakan urusan pihak masjid dan konsultan. 

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri langsung tidak tahu menahu mengenai program itu dan terkejut apabila timbul dakwaan kononnya beliau sendiri tidak membenarkan ceramah berkenaan.

“Itu urusan pihak masjid dan konsultan, bukan kerajaan negeri. Saya tidak pernah diberitahu ada program tersebut. Kalau ada pihak rasa teraniaya, saya harap mereka beri penjelasan supaya tidak timbul fitnah kerana hukum fitnah sangat besar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pembatalan ceramah Ustaz Wadi Annuar sebagai penceramah utama bagi program ‘Healing de’Masjid’ di Masjid Sri Sendayan yang dijadual berlangsung Sabtu ini.

Kekecewaan tersebut turut dikongsikan penceramah itu melalui video yang memaklumkan, semua persiapan bagi program tersebut telah diatur rapi oleh pihak-pihak terlibat iaitu pengurusan Masjid Sri Sendayan dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Aminuddin dalam pada itu berkata beliau tiada masalah dengan penganjuran sebarang program atau majlis ilmu namun meminta isu itu tidak dipolitikkan atau dikaitkan dengan kerajaan negeri.

“Saya boleh memaafkan tiada masalah, tetapi janganlah ada pihak cuba mengaitkan perkara ini dengan kerajaan negeri atau dipolitikkan. Bukan jemputan daripada kerajaan negeri,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker kesal dan terkejut dengan pembatalan ceramah berkenaan.

Beliau mendakwa, pembatalan ceramah itu sebagai bentuk campur tangan  yang melampau kerana dibuat secara tiba-tiba.

“Ia amat dikesali kerana kerajaan negeri masih didukung oleh majoriti wakil rakyat beragama Islam. 

“Tindakan pembatalan sesi ceramah Ustaz Wadi Annuar tersebut memberi gambaran bahawa kerajaan Negeri Sembilan ibarat ‘lembu dicucuk hidung’, seolah-olah tunduk dengan pihak yang tidak senang dengan kelangsungan program itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×