GEORGE TOWN : Keperitan hidup yang dialami Nur Elisa Syuhada Syamsul Ikram, 20, termasuk pernah makan nasi berlauk sekali sahaja dalam sehari selama beberapa hari sebelum ini membuatkan gadis itu bertekad untuk mengubah kehidupannya.
Anak sulung daripada empat beradik yang akan mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) itu berkata, dia juga berazam untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga ke menara gading dan menjadi contoh terbaik kepada adik-adiknya.
Justeru, Nur Elisa Syuhada berkata, tawaran yang diterimanya untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Sains Malaysia (USM) diibaratkannya seperti ‘bulan jatuh ke riba’.
“Saya memang bercita-cita untuk masuk ke sini (USM), tapi, apabila memikirkan bahawa keluarga tidak mampu untuk menanggung pengajian saya, maka, saya pendamkan hasrat itu terlebih dahulu.
“Ibu saya hanya bekerja sebagai seorang kerani dengan gaji cukup-cukup makan manakala ayah saya pula hanya melakukan kerja-kerja kampung termasuk menjadi ejen insurans untuk menyara kami sekeluarga.
“Bagaimanapun, saya terkejut dan sangat gembira apabila menerima surat tawaran yang memaklumkan bahawa pengajian saya akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak universiti melalui program Siswa Sulung,” katanya ketika ditemui semasa sidang akhbar kemasukan pelajar baharu ke USM, hari ini.
Jelas Nur Elisa Syuhada, meskipun gembira, namun, jauh di sudut hatinya dia berasa sedih kerana akan berjauhan dari keluarganya buat kali pertama kerana mereka tinggal di Kota Bharu, Kelantan.
“Tapi, dengan adanya bantuan ini (program Siswa Sulung) saya hanya fikir untuk datang ke USM dan belajar sahaja (sehingga tamat pengajian),” katanya yang memberitahu, dia datang ke USM tanpa membawa duit poket buat masa ini kerana ibunya sedang berusaha mengumpul duit untuk tujuan berkenaan.
Bagi seorang lagi pelajar baharu, Muhammad Faeiz Danieall Mohamad Farid, 19, yang menghidap ‘mild autisme’ dan menghadapi masalah ‘introverted’ atau sukar untuk bergaul, dia akan cuba membuktikan kemampuannya bersaing dengan pelajar-pelajar normal yang lain.
Muhammad Faeiz Danieall yang juga anak sulung daripada empat beradik itu akan mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Sastera Pengajian Bahasa dan Kesusasteraan dengan dibantu oleh peserta Program Kepimpinan dan Penemuan Diri atau PALs di USM yang akan membimbing kumpulan pelajar bermasalah termasuk orang kurang upaya (OKU).
Sementara itu, Naib Canselor USM, Prof. Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, secara keseluruhannya, seramai 4,936 calon daripada lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), matrikulasi, asasi, diploma dan setaraf dengannya mendaftar untuk mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda sepenuh masa dan diploma di universiti itu.
Katanya, daripada jumlah tersebut, seramai 3,378 akan mengikuti program pengajian di kampus induk di George Town, 919 di Kampus Kejuruteraan di Nibong Tebal dan selebihnya iaitu 639 pelajar akan ditempatkan di Kampus Kesihatan di USM Kubang Kerian, Kelantan.
“Untuk pengetahuan, pada sidang akedemik 2025/2026 ini, kita turut menerima 280 pelajar di bawah program Siswa Sulung yang melibatkan kos berjumlah RM2.8 juta selain 17 pelajar OKU (16 daripadanya ditempatkan di kampus induk dan satu di kampus kesihatan),” katanya yang memberitahu, USM turut menerima kemasukan 16 atlet negeri dan kebangsaan serta lima pelajar Orang Asli kali ini.-UTUSAN










