SEREMBAN: Proses pendaftaran pelajar baharu Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai di sini semalam turut menerima kehadiran sepasang kembar seiras dari Palestin.
Kedua-dua adik beradik itu, Mohamed Tariq Mansour Wafi dan Mansour Tariq Mansour Wafi, 19, menarik perhatian ramai malah kedua-duanya juga nampak bersemangat ketika melangkah masuk bagi memulakan perjalanan akademik mereka.
Mohamed Tariq, 19, akan memulakan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) manakala Mansour Tariq pula memilih bidang Sains Komputer pengkhususan dalam Keselamatan dan Jaminan Maklumat di Fakulti Sains dan Teknologi (FST).
Mohamed Thariq berkata, dia tidak sabar untuk mengikuti kelas pengajian pada sesi akademik baharu ini.
“Walaupun berbeza bidang dengan kembar saya, ia tidak memisahkan kami akan bersama berkongsi satu misi yang sama iaitu menuntut ilmu setinggi mungkin demi memberi sumbangan kepada masyarakat Palestin dan dunia Islam,” katanya.
Ketika ditanya mengapa memilih Malaysia sebagai destinasi pengajian, katanya Malaysia sangat menarik kerana kehijauan dan suasananya yang menenangkan.
“Kami rasa tempat ini sesuai untuk kami belajar dan membina masa depan walau berada jauh dari tanah air sekali pun ia bukanlah satu penghalang,” katanya.
Mansour Tariq pula menambah, sokongan keluarga di Palestin menjadi motivasi terbesar buat mereka berdua.
“Keluarga kami sentiasa memberi semangat agar kami meneruskan pengajian hingga ke peringkat tertinggi. Itu menjadi motivasi besar untuk kami,” ujarnya.
Walaupun baru melangkah ke alam universiti, kedua-duanya sudah memasang impian untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dan seterusnya Doktor Falsafah (PhD).
“Kami mahu membawa pulang bukan sahaja sijil tetapi ilmu yang bermanfaat untuk membangunkan masyarakat Palestin, sekali gus memberi sumbangan kepada dunia Islam,” kata Mohamed Tariq.
Kehadiran mereka berdua menambah warna dalam komuniti antarabangsa USIM yang kini menempatkan pelajar dari lebih 50 negara. – UTUSAN











