DI sebalik populariti dan kejayaan yang diraih, penyanyi yang terkenal dengan lagu Dikir Puteri ini mengakui kehidupannya kini lebih banyak tertumpu kepada kerja-kerja belakang tabir sehingga kadangkala dia sendiri terlupa statusnya sebagai seorang artis.
Menurut Noraniza Idris atau mesra disapa Kak Ani, tumpuan utamanya sekarang adalah kepada Noraniza Idris Dance Academy (NIDA TARI) serta pelbagai lagi kerja-kerja belakang tabir melibatkan usaha menghidupkan kembali warisan seni tradisional negara.
“Ramai kata saya dah tak menyanyi, tapi sebenarnya bukan begitu. Kesibukan di sini memang luar biasa sampai kita tak ada masa untuk kembali jadi artis.
“Bila saya jadi artis sepenuh masa, kita terikat dengan jadual ketat, kena ikut arahan, kena ada yang kawal kita. Semua ini buat saya rasa macam lemas sebab saya ini jenis suka kerja, turun padang, buat aktiviti.
“Jadi bila duduk saja ikut skrip, atau ikut aturan majlis sebagai artis, saya rasa tak kena dengan jiwa,” jelasnya panjang lebar.
Bagi Noraniza, kerja-kerja belakang tabir yang dilakukan ketika ini lebih memberikan kepuasan kerana ia membuka ruang untuknya membina sesuatu daripada asas.
“Saya dah terlalu leka dengan groundwork ini. Bila terlibat dengan pembangunan seni daripada bawah, ia beri satu kepuasan berbeza.
“Sebaliknya, bila fikir nak fokus sepenuhnya kepada kerjaya nyanyian, ia jadi terlalu statik, terlalu terkawal dan akhirnya rasa macam hilang cabaran.
“Saya suka benda yang mencabar dan boleh beri impak besar kepada industri,” katanya.
LAGU BARU
Ditanya mengenai perancangan untuk kembali dengan lagu baharu, Noraniza tidak menolak kemungkinan itu tetapi mengakui ia bukan keutamaannya buat masa ini.
“Insya-Allah ada perancangan, tapi bukan tahun ini. Mungkin awal tahun depan. Lagipun, artis-artis saya sendiri sedang bersedia untuk keluarkan karya baharu.
“Saya tak mahu bersaing dengan mereka. Kita kena jaga mereka dulu, biar mereka menonjol. Kalau saya keluar sekali, nanti tumpuan lari.
“Untuk kesinambungan, saya akan keluar dengan lagu raya dulu sebab lagunya dah ada, cuma tunggu masa sesuai untuk dilancarkan menjelang Aidilfitri tahun depan,” jelasnya.
KURANGNYA PELAPIS
Dalam pada itu, mengajak penyanyi lagu Ngajat Tampi ini berbicara mengenai luahannya berhubung kekurangan pelapis penari zapin, wanita berusia 57 tahun ini mengakui perkara itu.
Berikutan itu, kata Noraniza, dia berusaha untuk mengembali dan melahirkan lebih ramai pelapis penari zapin menerusi program kelolaannya dengan antaranya melalui program Battle Zapin.
“Saya telah menghasilkan lima musim pertandingan ini dan ia bukan sekadar hiburan, tetapi satu program riadah yang penuh sejarah. Zapin pada asalnya dimainkan oleh arwah datuk saya bersama sepupu-sepupunya.
“Biasanya, permainan ini dijadikan penutup majlis kenduri kahwin, di mana pemain perlu menghafal ragam-ragam tertentu dan bermain dalam bentuk jual-beli ragam, ‘Kalau kau jual, aku beli. Aku jual, kau beli’ begitu.
“Menariknya, permainan ini dilakukan tanpa sentuhan fizikal, menjadikannya sebagai riadah sambil menunggu masuk waktu Subuh,”katanya.
Kongsinya lagi, pada 2012, dia mencuba menghidupkan semula tradisi itu.
“Walaupun ramai menganggapnya sebagai sesuatu yang baharu, sebenarnya ia adalah warisan lama yang ingin dipertontonkan kepada generasi moden. Pertandingan ini menuntut peserta untuk kreatif secara spontan, membalas ragam lawan dengan strategi tersendiri.
“Setiap persembahan menjadi unik dan penuh aksi kerana peserta perlu menghafal pola lantai, ragam dan respon secepat kilat. Sejak 2014 hingga 2022, saya telah menjelajah seluruh Malaysia bagi mempopularkan Battle Zapin. Sambutannya luar biasa di Johor dan Melaka, tetapi agak kurang di bahagian utara kerana masyarakat di situ lebih mengenali tarian Inang.
“Namun, cabaran ini tidak menghalang saya daripada mendekatkan generasi muda dengan zapin dan memastikan tradisi ini tidak luput ditelan zaman,”katanya.
Tambahnya, apa yang membuat zapin menarik bagi generasi muda adalah gabungan tradisi dan elemen moden.
Malah kata Noraniza, walaupun dimainkan dengan lagu Michael Jackson atau rentak muzik terkini, peserta tetap mengekalkan asas zapin.
“Pendekatan ini turut melatih kawalan emosi dan ketahanan mental, kerana pemain perlu bertindak spontan sambil mengekalkan identiti tradisi.
“Selain itu, pergerakan zapin yang menyerupai breakdance atau hip-hop membuatkan anak muda lebih mudah menikmatinya. Bagi saya, zapin bukan sahaja hiburan, tetapi satu bentuk latihan emosi, kreativiti, dan jati diri.
“Inilah yang membuatkan Battle Zapin ini terus relevan dan menghiburkan, sambil mengekalkan warisan budaya negara,”katanya.-UTUSAN