Jumlah mangsa banjir di Sabah meningkat, 3,193 orang masih terjejas

Jumlah mangsa banjir di Sabah meningkat, 3,193 orang masih terjejas

ANGGOTA bomba membantu sebuah keluarga di Kampung Gadong Kimanis berpindah ke PPS Dewan Masyarakat Bongawan. - GAMBAR/IHSAN JBPM SABAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir di Sabah terus menunjukkan peningkatan dengan  seramai 3,193 penduduk daripada 916 keluarga kini ditempatkan di 128 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di tujuh daerah setakat pukul 8 pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (PKOB) memaklumkan, daerah Sipitang mencatat pertambahan mangsa apabila tiga PPS baharu dibuka sejak 17 September, menempatkan 285 orang daripada 103 keluarga.

“Peningkatan ini menjadikan jumlah kumulatif penduduk terjejas di Sabah kekal tinggi, walaupun ada beberapa daerah lain menunjukkan trend penurunan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut PKOB, daerah Membakut merekodkan jumlah mangsa tertinggi sebanyak 985 orang, diikuti Penampang (639), Putatan (567), Papar (369), Beaufort (289), Sipitang (285) dan Tawau (59).

Dalam pada itu, Penampang, yang sebelum ini merekodkan jumlah mangsa tertinggi, kini menunjukkan penurunan di beberapa PPS termasuk SK St Paul Kolopis, Dewan Huguan Siou dan Kompleks Sukan Penampang.

“Namun, PPS Dewan Ramayah dan Dewan Raya Bukitas dilaporkan mengalami sedikit peningkatan,” katanya.

Di Membakut pula, jumlah mangsa masih kekal tinggi dengan lima PPS utama beroperasi, antaranya SMK Bongawan, SJK (C) Pei Yin dan Dewan Masyarakat Bongawan, selain sebuah PPS baharu di SMK Membakut yang kini dalam proses pendaftaran.

Selain itu, di Papar pula, empat PPS termasuk Dewan Masyarakat Papar dan Dewan Lok Kawi Heights masih menempatkan 369 mangsa, manakala di Putatan empat PPS kekal beroperasi dengan 567 mangsa.

Bagi daerah Beaufort, PPS PPK Selagon menampung 289 mangsa sejak 9 September lalu manakala di Tawau, 59 mangsa kebakaran Masjid Al-Aman masih berada di pusat pemindahan.

“Pihak berkuasa terus melakukan pemantauan rapi terhadap situasi cuaca dan paras sungai, terutama di kawasan berisiko tinggi,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×