PETALING JAYA: Isu kemasukan pelajar ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tidak seharusnya dipolemikkan dengan cadangan yang dangkal, sebaliknya perlu dibincangkan secara kritis dan matang demi masa depan mahasiswa.
Presiden Siswa Bersatu Malaysia, Ameer Hazeem Mohd. Zaky berkata, saranan Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY) agar Program Matrikulasi dimansuhkan dan hanya mengekalkan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai laluan tunggal ke IPTA adalah sempit tanpa mengira pelbagai faktor.
“Cadangan UMANY ini semberono apabila mendakwa silibus STPM lebih baik berbanding Matrikulasi tanpa usul periksa yang jelas.
“Premis kononnya masih ada sistem kuota dalam kemasukan pelajar juga tidak lagi relevan kerana sistem meritokrasi telah digunakan sepenuhnya sejak 2002.
“Malah, individu yang mengeluarkan kenyataan itu sendiri merupakan lepasan Matrikulasi Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ameer Hazeem berkata, Siswa Bersatu mengambil maklum kes seorang pelajar STPM yang gagal menempatkan diri di universiti pilihan, namun perkara itu perlu dilihat secara objektif dengan mengambil kira merit akademik serta penglibatan kokurikulum secara menyeluruh.
Katanya, meritokrasi ialah prinsip utama yang menentukan kelayakan pelajar, bukan sekadar prestasi akademik semata-mata.
“Saya berharap agar UMANY atau mana-mana pihak tidak lagi mempolemikkan isu kemasukan pelajar ke IPTA, sebaliknya mencari pendekatan terbaik bagi memperkukuhkan sistem meritokrasi sedia ada.
“Kami sedia untuk berbincang dan berdiskusi dengan semua pihak demi kebaikan pelajar dan mahasiswa negara pada masa depan,” katanya.










