Watie Hanifiah dedah hampir terjebak ke gejala meroyan selepas melahirkan Akira - Utusan Malaysia

Watie Hanifiah dedah hampir terjebak ke gejala meroyan selepas melahirkan Akira

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Isteri kepada pelawak dan usahawan,, Shuib Sepahtu iaitu selebriti media sosial, Watie Hanifiah mengakui pernah melalui fasa sukar sehingga hampir terjebak dengan gejala meroyan selepas melahirkan cahaya mata mereka, Akira Juwita Zahra pada April lalu.

Menurut Watie, pengalaman tersebut merupakan sesuatu yang tidak pernah dirasainya sepanjang hidup meskipun mendapat sokongan penuh daripada suami dan ahli keluarga sepanjang tempoh berpantang.

Katanya, perubahan emosi yang dialami selepas bersalin membuatkan dirinya sering berasa gelisah, takut dan hilang arah tanpa mengetahui punca sebenar.

“Dalam pantang saya hampir-hampir nak meroyan. Hampir dah rasa macam hilang diri. Dia bukan sebab Shuib tak ada di sebelah, Shuib sentiasa ada sahaja di rumah daripada mula saya bersalin. Anak-anak pun sentiasa bersama saya.

“Tapi ada satu benda yang saya rasa, benda yang seumur hidup tak pernah rasa. Sampai sekarang kadang-kadang perasaan itu datang juga. Masa sedang mengepam susu, tiba-tiba ada satu perasaan yang susah nak dijelaskan. Rasa tak sedap hati datang secara tiba-tiba.

“Orang cakap mungkin banyak fikir atau terlalu risau, tetapi tidak. Kadang-kadang masa makan pun perasaan itu datang. Semua itu bermula selepas saya bersalin,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Menurut Watie, perubahan ketara pada dirinya turut disedari Shuib yang menyifatkan dirinya seolah-olah bukan lagi individu yang sama seperti sebelum melahirkan Akira.

“Shuib pernah tunjuk video saya pada malam sebelum masuk hospital untuk bersalin. Dia cakap, ‘Mummy tengok video ini. Malam sebelum bersalin pun Mummy ceria, ketawa dan gembira. Sekarang diri Mummy lain sangat’.

“Memang saya banyak termenung. Bila Shuib keluar bilik sahaja, saya menangis seorang diri. Kadang-kadang buka TikTok dan keluar pula kisah bayi meninggal dunia selepas beberapa minggu dilahirkan. Saya jadi terlalu takut.

“Sampai Shuib masuk bilik dan tanya kenapa saya menangis teresak-esak. Saya cakap saya takut Allah pinjamkan Akira sekejap sahaja,” ujarnya.

Watie berkata, ketakutan melampau terhadap keselamatan anak menyebabkan dia menjadi terlalu sensitif terhadap setiap perkara yang melibatkan bayi tersebut.

“Akira menangis saya risau. Dia diam pun saya risau. Lepas menyusu dia termenung pun saya risau. Bila dia senyap saya tanya Daddy kenapa dia senyap.

“Bila dia buang air besar saya suruh Daddy tanya ChatGPT kenapa warna najis dia macam itu. Sampai Shuib cakap, ‘Mummy nak apa sebenarnya? Dia senyap Mummy risau, dia nangis Mummy risau, dia termenung pun Mummy risau’.

“Memang saya jadi overthinking sebab terlalu takut. Masa dia kena kuning lagi teruk. Saya langsung tak boleh tidur kerana terlalu banyak berfikir,” katanya.

Malah, Watie mengakui keadaan tersebut menyebabkan dia hanya mampu berasa tenang apabila mendengar suara suaminya.

“Mak saya datang pun waktu itu saya rasa rimas sedangkan mak saya seorang yang sangat tenang. Sampai satu tahap saya cuma boleh dengar suara Shuib sahaja. Suara dia sahaja yang boleh buat saya tenang.

“Orang lain datang melawat pun dalam hati saya rasa macam nak jerit. Bukan sebab benci, tetapi dalam diri itu memang sedang berperang dengan emosi sendiri.

“Itulah kali pertama dalam hidup saya rasa keadaan seperti itu,” katanya.

Dalam masa sama, Watie bersyukur kerana mempunyai suami yang sentiasa berada di sisi ketika melalui tempoh mencabar tersebut.

“Saya rasa sangat bersyukur sebab ketika saya berada dalam keadaan macam itu, saya ada suami yang sentiasa bersama. Saya tak dapat bayangkan macam mana perasaan wanita yang melalui tempoh berpantang tanpa sokongan suami.

“Sebab itu saya nak pesan kepada para suami yang isteri sedang mengandung atau berpantang, tolonglah sentiasa ada dengan isteri. Sokongan suami sangat penting.

“Kalau sayang isteri dan anak, hargailah mereka. Ada perasaan yang lelaki tak akan pernah dapat rasa. Hanya wanita yang melahirkan anak sahaja akan faham bagaimana perasaan itu,” katanya.

Untuk rekod, Watie dan Shuib menyambut kelahiran anak sulung mereka, Akira, pada 6 April lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN