Tiket Fury Championship Vol. II habis kurang 10 minit

Tiket Fury Championship Vol. II habis kurang 10 minit

KETUA Pegawai Eksekutif AR Fury Holdings Sdn. Bhd., Mohamad Wafiy Ilhan Johan (tengah), bersama Ketua Pegawai Pemasaran, Mohamad Faizal Ahmad (kiri), berucap pada sidang media FURY Championship Vol. II sambil memperkenalkan barisan petarung yang bakal beraksi pada kejohanan tersebut kepada pihak media.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Fury Championship Vol. II terus mencuri perhatian apabila jualan tiket Fasa 1 habis terjual dalam tempoh kurang 10 minit selepas dibuka kepada umum, sekali gus membuktikan populariti dan peningkatan pengaruh kejohanan sukan tempur itu dalam kalangan peminat tempatan.

Sambutan luar biasa tersebut memberi gambaran awal bahawa edisi kedua kejohanan berkenaan yang dijadual berlangsung di Karisma Arena pada 25 Julai depan bakal menjadi antara acara sukan tempur terbesar dan paling dinantikan di Malaysia tahun ini.

Lebih menarik, kejohanan itu dijangka menghimpunkan lebih 3,000 penonton dan turut menampilkan gabungan petarung elit tempatan serta antarabangsa yang akan berentap dalam pelbagai kategori Muay Thai dan tinju profesional.

Tumpuan utama pastinya terarah kepada perebutan gelaran sulung Fury Muay Thai Lightweight Championship yang menyaksikan wakil negara, Izat Zaki bakal berdepan pencabar dari luar negara, Brian Lawitan.

Pertarungan itu dijangka menjadi kemuncak malam kejohanan dan berpotensi mencuri perhatian peminat sukan tempur di rantau ini.

Selain aksi perebutan kejuaraan, peminat turut bakal disajikan dengan beberapa pertarungan berprofil tinggi membabitkan nama-nama yang semakin meningkat dalam arena Muay Thai dan tinju profesional, menjadikan Fury Championship Vol. II sebagai pentas penting untuk mengetengahkan bakat tempatan di peringkat antarabangsa.

Bagi menambah kehangatan menjelang hari pertandingan, penganjur turut akan mengadakan sesi Ceremonial Weigh-In & Face Off pada 24 Julai di Arena Premier Boutique Hotel yang memberi peluang kepada peminat menyaksikan pertemuan terakhir semua petarung sebelum mereka memasuki gelanggang.

Ketua Pegawai Eksekutif Fury Championship, Mohamad Wafiy Ilham Johan, berkata kejohanan itu bukan sekadar menawarkan aksi pertarungan berintensiti tinggi, malah membawa misi lebih besar untuk memartabatkan industri sukan tempur tempatan melalui penganjuran bertaraf profesional dan memenuhi piawaian antarabangsa.

“Kejayaan jualan tiket Fasa 1 yang habis dalam masa kurang 10 minit menunjukkan minat yang semakin berkembang terhadap sukan tempur di Malaysia.

“Kami komited untuk terus menyediakan platform terbaik kepada atlet tempatan dan pada masa sama memberi pengalaman bertaraf dunia kepada para penonton,” katanya.

Tambah beliau, pihak penganjur optimis Fury Championship mampu berkembang sebagai jenama sukan tempur utama negara dan menjadi destinasi pilihan petarung antarabangsa pada masa hadapan.

Orang ramai yang ingin menyaksikan kejohanan tersebut secara langsung disaran mendapatkan tiket bagi fasa jualan seterusnya secepat mungkin memandangkan permintaan dijangka terus meningkat.

Tiket boleh diperoleh menerusi platform Wowtix, manakala siaran Pay-Per-View (PPV) akan disediakan secara eksklusif menerusi Tonton.

Dengan gabungan aksi berprestij, kehadiran petarung berkualiti dan sambutan luar biasa daripada peminat, Fury Championship Vol. II dilihat berada di landasan tepat untuk mencipta satu lagi sejarah sebagai antara acara sukan tempur paling berpengaruh di negara ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN