'Jangan bandingkan mutu Abu Si Raksasa dengan filem mega' - Utusan Malaysia

‘Jangan bandingkan mutu Abu Si Raksasa dengan filem mega’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tidak putus menerima hentaman, penerbit filem Abu Si Raksasa, Zamin Fakry meminta orang ramai berhenti membandingkan mutu naskhah itu dengan karya berkos tinggi.

Menurut Zamin, pihak produksi telah membuat yang terbaik untuk menghasilkan karya terbitan M Toons Media Sdn. Bhd mengikut kesesuaian bajet yang telah disediakan.

“Kami memohon keadilan dalam penilaian. Janganlah dibandingkan mutu filem ini yang bajet keseluruhannya hanyalah sekitar RM2 juta dengan filem mega yang kosnya RM20 juta.

“Apatah lagi dengan Abu Si Raksasa dengan filem Hollywood yang sudah tentunya menelan kos ratusan juta dolar,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Meskipun baru ditayangkan di pawagam semalam, Zamin menyifatkan keberanian pihak produksi menggunakan teknik Imej Janaan Komputer (CGI) dalam filem sains fiksyen itu mampu memberi kepelbagaian genre di layar perak.

“Kami sedar ramai yang meletakkan harapan tinggi terhadap filem ini. Dengan segala kemampuan dan tenaga yang ada, kami cuba menghasilkan sebuah naskhah yang terbaik.

“Kami tidak mendakwa ini sebuah karya hebat, tetapi pada kami, yang penting ialah kita bermula. Bermula untuk mencuba sesuatu yang baru dalam industri kita, genre yang jarang disentuh di tanah air,” jelasnya.

Zamin bagaimanapun berharap agar filem tersebut diterima baik dan mendapat sokongan ramai pihak terutama sekali pada musim cuti sekolah.

Abu Si Raksasa mengisahkan tentang seekor cicak salamander yang berubah menjadi seekor raksasa, kesan daripada pencemaran bahan toksik di sebuah tasik.

Filem arahan Ramdan Che Hassan itu menampilkan Sophia Albarakbah selaku teraju utama selain turut dibintangi Jaa Suzuran, Afieq Syazwan, Zalif Sidek, Azhar Sulaiman dan Datin Maria Farida.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN