KOTA BHARU: Isu berkaitan ayam dan telur di pasaran tempatan kini reda dengan harga kedua-dua bahan asas itu berada dalam keadaan terkawal.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bagaimanapun pihaknya tidak mahu bercakap besar apabila memperkatakan isu keterjaminan makanan berikutan situasinya boleh berubah pada bila-bila masa.
“Alhamdulillah setakat ini harga telur dan ayam terkawal tetapi hal makanan ini kita tidak boleh cakap besar dan kata semuanya telah selesai. Kita cuma boleh kata reda atau lega.
“Sebab di negara seperti Amerika Syarikat (AS) juga boleh berlaku bekalan telur ayam tidak cukup apabila datang sesuatu penyakit atau faktor cuaca menyebabkan ayam kurang bertelur,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Bank Bergerak dan Kampung Angkat Madani Agro Bank di Kampung Pantai Mek Mas, di sini hari ini.
Utusan Malaysia pada 31 Julai lalu melaporkan kerajaan akan melaksanakan langkah penstrukturan semula subsidi telur ayam bermula 1 Ogos lalu sebagai sebahagian daripada pendekatan penyasaran subsidi berfasa secara lebih lestari dan berimpak tinggi.
Sementara itu, beliau berkata, kini pihaknya berdepan satu isu baharu berkaitan beras tempatan apabila harganya turun pada kadar terlalu murah dan perlu bersaing sengit dengan beras import.
Menurutnya, kementerian sedang melaksanakan kajian mendalam berkenaan isu baharu itu yang menyaksikan beras tempatan kurang mendapat sambutan daripada rakyat Malaysia walaupun dijual dengan harga serendah RM26 bagi paket 10 kilogram (kg).
“Sebelum ini bising rakyat mahu beras tempatan tetapi apabila sudah ada di pasaran, kurang laku. Ditambah pula harga beras import kini murah dan hampir menyamai beras tempatan, maka beras tempatan kembali ditinggalkan.
“Sekarang kita (KPKM) terpaksa pula buat kempen bagi mengajak dan menggalakkan rakyat Malaysia makan beras tempatan,” ujarnya. – UTUSAN










