Isu Hutan Simpan Temangan: Kelantan jamin ganti kawasan baharu

Isu Hutan Simpan Temangan: Kelantan jamin ganti kawasan baharu

MOHAMED FADZLI HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan memberi jaminan setiap kawasan hutan simpan yang dibatalkan pewartaannya bagi tujuan penerokaan, digantikan dengan kawasan lain.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, jaminan itu termasuk melibatkan isu penerokaan di Hutan Simpan Temangan, Machang yang kini menjadi perhatian.

Katanya, isu di Hutan Simpan Temangan sebenarnya berkaitan kelulusan diberikan kepada sebuah syarikat untuk menjalankan perlombongan granit sejak 2009.

“Sebenarnya sejak tahun 2009, kelulusan diberikan kepada sebuah syarikat untuk menjalankan perlombongan granit di situ (Hutan Simpan Temangan). Cuma ia baru digazetkan semula sebagai dikeluarkan daripada senarai hutan simpan di negeri ini,” katanya selepas Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan itu berkata, beliau telah berhubung dengan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan bagi mendapatkan kepastian mengenai status penggantian kawasan hutan simpan tersebut.

Katanya, Pengarah Perhutanan Negeri Kelantan, Mohd. Rahim Ramli memberi jaminan bahawa setiap hutan simpan yang dibatalkan pewartaannya perlu diganti dengan kawasan lain.

“Insya-Allah kita akan tengok, kalau memang perlu diganti, kita akan ganti dengan kawasan lain. Kelulusan diberikan pada tahun berkenaan adalah kerana hutan simpan itu mempunyai hasil granit,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN