KUALA LUMPUR: “Menjadi wakil rakyat bukanlah sesuatu yang mudah. Saya takut tidak amanah.”
Demikian kata penyanyi dangdut terkenal Indonesia, Inul Daratista yang enggan melibatkan diri dalam dunia politik meskipun dirinya lantang menyuarakan isu kenaikan sewa atau pajak serta perniagaan.
Menurut Inul, dia sedar dengan kemampuan dirinya sekiranya perlu menggalas tanggungjawab sebagai ahli politik selain lebih selesa menjalani kehidupan sebagai penyanyi dan usahawan.
“Memang saya tidak mahu terbabit dalam politik. Saya bersuara sebelum ini pun sebab pajak yang naik sekali gus turut menjejaskan perniagaan saya. Saya sedar kemampuan diri dan tahap pendidikan juga tidak tinggi.
“Biarlah rakan artis lain yang mempunyai kebolehan ke arah itu. Cukup saya jadi penghibur dan usahawan sahaja,” katanya.
Inul berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Inul Daratista Live in Malaysia ‘Millenial Dangdut Nusantara’ di Hard Rock Cafe, baru-baru ini.
Bakal mengubat kerinduan peminatnya pada 6 Disember ini, penyanyi lagu Goyang Inul itu tidak berfikir panjang menerima pelawaan penganjur, Fajar Baiduri Empire untuk kembali beraksi di pentas mega selepas 20 tahun.
Kata Inul, dia tidak sabar untuk menggegarkan Setia Spice Arena Pulau Pinang dengan trademark goyang gerudi itu di hadapan peminat Malaysia yang setia menyokong kerjayanya sebagai penghibur.
“Memang kali terakhir beraksi di sini sekitar 20 tahun lalu. Kemudian pada 2019 saya terbabit dalam penjurian program realiti terbitan Astro yang mengambil masa hampir dua bulan.
“Walaupun selepas itu tiada lagi konsert atau rancangan televisyen di Malaysia, saya dan keluarga selalu bercuti, bukan hanya di Kuala Lumpur, malah negeri lain.
“Untuk konsert kali ini, saya tidak sabar mahu menghiburkan peminat yang sentiasa merindukan kemunculan saya. Goyang gerudi itu juga pasti saya akan lakukan namun tetap akan menjaga garis panduan yang telah ditetapkan oleh penganjur bagi mengelakkan sebarang isu berbangkit,” jelasnya.
Selain Inul, konsert yang berdurasi dua jam itu juga akan dimeriahkan dengan penampilan dua penyanyi dangdut tanah air iaitu Amelina dan Baby Shima.
Tiket bagi menyaksikan konsert anjuran Fajar Baiduri Empire itu sudah mula dijual menerusi www.myticket.asia.- UTUSAN










