KUALA LUMPUR: Cuti umum sempena Maulidur Rasul dan hujung minggu menjadi pilihan ibu bapa untuk bercuti bersama keluarga serta melawat tempat menarik di sekitar ibu kota.
Suasana meriah jelas kelihatan dengan kehadiran keluarga dari pelbagai latar belakang yang mengambil peluang untuk mengeratkan hubungan dan meluangkan masa bersama orang tersayang.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, orang ramai mula memanfaatkan cuti panjang ini untuk berehat, bersiar-siar dan mencipta kenangan manis bersama keluarga tanpa mengira latar belakang.
Seorang peniaga dari Pahang, Hasniza, 34, yang datang bersama adik-beradiknya untuk bersiar di ibu kota berkata, cuti umum sempena Maulidur Rasul dan hujung minggu memberi peluang untuk mereka menghabiskan masa bersama orang tersayang di luar negeri mereka.
“Kami mengambil peluang cuti panjang kali ini untuk berjalan di sekitar ibu negara dan menikmati keindahan serta suasana meriah ibu kota,” katanya.
Tambahnya, cuti yang panjang membolehkan semua ahli keluarga berkumpul dan menjadikan suasana lebih meriah.
“Semua ahli keluarga dapat berkumpul. Anak-anak pun gembira,” katanya.
Sementara itu, seorang pekerja swasta bersama isteri dan seorang anak, Fauzi, 30, mengambil keputusan untuk bersiar sebentar di Kuala Lumpur semasa dalam perjalanan ke Perak untuk menziarahi ibu saudaranya.
“Kami dalam perjalanan ke Perak terapi singgah sebentar di Kuala Lumpur. Keadaan trafik juga tidak sesak, jadi ada banyak masa untuk bersiar-siar sebelum menyambung perjalanan,” katanya.
Fauzi berkata, kunjungan singkat ini memberi peluang untuk mereka menikmati suasana ibu kota sebelum meneruskan perjalanan.
“Dah agak lama tak datang sini, jadi singgah sekejap untuk bersiar-siar,” katanya.
Cuti umum ini turut dimanfaatkan pihak sekolah mengadakan aktiviti pembelajaran luar bilik darjah.
Seorang guru dari Sekolah Kebangsaan Batu 29 Setiu, Terengganu, Hanani, 34, berkata, cuti umum sempena Maulidur Rasul memberi peluang untuk mengadakan lawatan tahunan bagi pelajar tahun lima dan enam sebelum mereka melangkah ke alam persekolahan baharu.
“Kami sampai di ibu negara semalam dan bermalam di Kampung Baru. Hari ini kami menyambung ke Petrosains, Menara Kuala Lumpur dan Masjid Negara,” katanya.
Lawatan melibatkan 37 murid dan enam guru itu bertujuan memberi pendedahan kepada murid-murid mengenai kawasan ibu kota serta pengalaman pembelajaran secara praktikal.
“Lawatan ini memberi peluang pelajar belajar secara langsung. Diharapkan mereka dapat memanfaatkan sepenuhnya dan mempelajari banyak perkara,” katanya.
Di samping itu, seorang pelajar universiti, Az Zahra Khairudin, 23, berkata, cuti umum ini memberi peluang untuk meluangkan masa bersama rakan-rakan.
“Kami menggunakan cuti panjang ini untuk meluangkan masa berjumpa rakan-rakan dan membeli barangan keperluan sebelum kembali ke kelas minggu depan,” katanya.
Cuti turut membantu dia dan rakan-rakan melepaskan tekanan belajar dan memberikan ketenangan daripada kehidupan di kampus. – UTUSAN










