GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli Pos Balar di sini teruja untuk menggunakan kemudahan jambatan baharu yang kini sedang giat dalam pembinaan.
Penghulu Kampung Perawas, Pos Balar, Osman Anjang, 48, berkata, penduduk berharap pembinaan jambatan itu dapat dilaksanakan mengikut jadual ditetapkan.
Katanya, ketika ini penduduk masih bertarung nyawa menggunakan jambatan sementara yang dibina secara bergotong-royong.
“Penduduk harap jambatan itu dapat disiapkan dalam tempoh yang sudah ditetapkan. Sekarang ini musim cuaca hujan yang tidak menentu memberi kerisauan kepada penduduk yang melalui jambatan sementara berkenaan.
“Kami berterima kasih kepada kerajaan termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) yang membantu merealisasikan hasrat penduduk yang mahukan sebuah jambatan yang kukuh dan lebih selamat,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, jambatan sementara kedua yang dibina penduduk menggunakan besi terpakai dan kayu runtuh sekali lagi pada 18 Mei lalu.
Kejadian itu menyebabkan penduduk yang ingin keluar ke Bandar Gua Musang terpaksa bergotong-royong mengangkat motosikal mereka merentasi sungai itu dan membina jambatan sementara ketiga.
Penduduk, Ahmadi Jalil Biyor, 40, berharap jambatan itu dapat digunakan sebelum musim tengkujuh tiba.
Katanya, jambatan baharu itu memberi kemudahan kepada murid dan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Balar yang berulang-alik merentasi Sungai Balar.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, kerja pembinaan berjalan mengikut jadual dan dijangka siap dalam tempoh kurang dari dua minggu.
Katanya, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memberi perhatian dan meluluskan projek yang dianggarkan menelan kos RM350,000. – UTUSAN










