PETALING JAYA: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kini bersedia sepenuhnya bagi menghadapi Pilihan Raya (PRN) Sabah dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh berlaku pada bila-bila masa.
Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bankuai berkata, Majlis Tertinggi blok gabungan itu telah membuat keputusan untuk bertanding di 55 kerusi DUN Sabah yang kesemuanya melibatkan kawasan berpotensi tinggi untuk dimenangi berdasarkan kajian dan tinjauan dalaman.
“Majlis tertinggi GRS telah membuat keputusan untuk bertanding di 55 kerusi DUN yang kami yakin boleh menang,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Ketika ini, GRS Plus mempunyai 41 kerusi, masing-masing 24 kerusi Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), tujuh kerusi Parti Bersatu Sabah (PBS), enam kerusi Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) satu kerusi ahli langsung GRS iaitu Limbahau, satu kerusi Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) di Kukusan dan dua kerusi ahli UMNO dipecat yang menyokong GRS.
PH pula mempunyai tujuh kerusi, manakala UMNO sembilan kerusi, diikuti 14 kerusi dikuasai Parti Warisan dan dua kerusi disandang Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).
GRS dianggotai Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu USNO; Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS).
Dalam pada itu Joniston berkata, persediaan rapi telah dibuat jentera GRS di semua peringkat bagi memastikan kemenangan dalam PRN yang diadakan nanti
“Persediaan kami adalah berdasarkan kepada kemungkinan DUN Sabah akan dibubarkan bila-bila masa. Kami tidak tunggu hingga saat akhir. Semua jentera parti sedia dan fokus kepada kekuatan akar umbi,” jelasnya. – UTUSAN










