Gesa polis ambil tindakan pihak ugut Perdana Menteri

Gesa polis ambil tindakan pihak ugut Perdana Menteri

FAEZUDDIN Puad (tiga dari kiri) menunjukan laporan polis terhadap seorang individu lelaki didakwa mengugut Perdana Menteri di Ibu Pejabat Polis Johor Bahru Utara, Johor Bahru, semalam.-UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis perlu mengambil tindakan tegas terhadap individu yang membuat ugutan dan ancaman bunuh terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa bantahan di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad berkata, tindakan lelaki tersebut adalah satu perkara serius dan tidak sewajarnya dipandang ringan.

Kata beliau, pihaknya telah membuat satu laporan polis berhubung perkara tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara, di sini hari ini.

“Saya mewakili AMK Johor membuat laporan polis terhadap seorang individu lelaki warga tempatan yang terlibat dalam protes di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur, semalam kerana membuat kenyataan ugutan dan ancaman bunuh terhadap Perdana Menteri.

“Dalam satu video tular, lelaki tersebut dilihat memberitahu dia pernah ditahan pihak berkuasa selama lima tahun sebelum ini kerana perkara sama, dan kemudian dia cakap ‘jangan sampai saya buat betul-betul’,” katanya dalam sidang akhbar di hadapan IPD Johor Bahru Utara.

Tambah Faezuddin, tindakan lelaki tersebut telah melampaui batas dan tidak mencerminkan norma-norma kehidupan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan latar belakang ini.

“Perdana Menteri sebelum ini telah memberikan kebenaran untuk rakyat berhimpun, tetapi ia perlulah dibuat mengikut lunas undang-undang, beradab dan tertib. Kita tidak mahu jadi seperti di Indonesia atau Nepal,” katanya.

Menurut Faezuddin lagi, pihaknya percaya perbuatan lelaki tersebut merupakan kesalahan dibawah Seksyen 503 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah dan ancaman bunuh.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata beberapa individu telah ditahan susulan insiden rempuhan penduduk di Kampung Sungai Baru yang mengakibatkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman cedera kerana dibaling objek ketika bertugas mengawal keadaan di lokasi berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×