PETALING JAYA: Kerajaan diharap supaya menyalurkan subsidi sekurang-kurangnya RM500 hingga RM600 bagi setiap kanak-kanak yang dihantar ke taman asuhan kanak-kanak (taska) berdaftar.
Presiden Persatuan Pengasuhan dan Perkembangan Awal Kanak-kanak Berdaftar Malaysia (PPBM), Prof. Norsheila Abdullah berkata, bantuan itu penting untuk menampung kos operasi serta memastikan pengusaha taska dapat mengambil bayi bawah setahun yang kini kebanyakannya ditolak kerana beban gaji minimum dan peraturan nisbah pengasuh.
“Ramai pengusaha taska mengakui mereka tidak mampu mengambil bayi bawah setahun kerana nisbah pengasuh yang ditetapkan tidak selari dengan kadar yuran sedia ada, sekali gus tidak mencukupi untuk menampung kos gaji dan operasi.
“Dengan yuran minimum sekitar RM600 seorang, jumlah yang diterima tidak mencukupi untuk membayar gaji, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) apatah lagi kos operasi,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, keadaan ini menimbulkan dilema kepada ibu bapa yang terpaksa mencari alternatif lain, termasuk menghantar anak kepada taska tidak berdaftar, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan dan kualiti penjagaan awal kanak-kanak.
Media sebelum ini melaporkan Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat Dewan Rakyat, Parlimen ke-15, mengesyorkan penggubalan satu akta khusus bagi mengawal selia dan membangunkan sektor penjagaan serta pendidikan awal kanak-kanak berumur 0 hingga enam tahun di Malaysia.
Pengerusi jawatankuasa berkenaan Yeo Bee Yin berkata sektor pendidikan awal kanak-kanak masih berdepan cabaran besar dari segi dasar dan tadbir urus.
Sementara itu, tambah Norsheila, subsidi secara langsung kepada taska atau ibu bapa akan membantu meringankan beban kewangan, selain memastikan lebih banyak taska berdaftar mampu menampung bayi sejak usia awal.
“Jika pihak kerajaan boleh salurkan RM500 hingga RM600 sebulan bagi setiap kanak-kanak, sama ada terus kepada taska atau melalui ibu bapa, ia sudah cukup untuk menampung jurang kos pengoperasian. Ia juga memberi jaminan bahawa ibu bapa berpendapatan rendah tidak ketinggalan,” katanya.
Dalam masa sama, PPBM turut memohon gaji minimum bagi pengasuh diteliti semula kerana pelaksanaan tanpa subsidi hanya membebankan pengusaha taska, terutamanya di kawasan luar bandar yang yuran ibu bapa jauh lebih rendah berbanding di bandar.
“Gaji minimum yang ditetapkan kerajaan nampak baik di atas kertas, tetapi realitinya banyak taska kecil tidak mampu menanggung kos itu. Akibatnya mereka terpaksa mengehadkan jumlah bayi atau kanak-kanak yang diterima atau menolak terus pengambilan bawah setahun,” katanya.
Dalam pada itu, pihaknya turut mencadangkan insentif khas kepada pengasuh bayi dengan elaun tambahan RM500 sebulan, selain subsidi yuran ibu bapa sekurang-kurangnya RM400 sebulan bagi anak yang dihantar ke taska berdaftar.
Langkah ini, katanya, akan mengurangkan kadar keluar masuk pekerja, meningkatkan motivasi pengasuh serta memberi keyakinan kepada ibu bapa terhadap kualiti perkhidmatan taska berdaftar.
“PPBM juga meminta pihak berkepentingan mencontohi negeri Sarawak yang menyalurkan subsidi tahunan kepada taska berdaftar serta bantuan RM100 bagi setiap kanak-kanak sebagai model sokongan yang praktikal dan berkesan.
“Pelaburan dalam pendidikan awal kanak-kanak terbukti memberi pulangan berganda kepada negara. Jika kita gagal melabur hari ini, kos sosial dan ekonomi pada masa depan akan jauh lebih besar,” katanya. – UTUSAN










