PETALING JAYA: Seramai dua sukarelawan Muslim Care Malaysia (MCM) yang menjadi kumpulan kedua delegasi dari Malaysia akan berlayar dari Itali bagi menyertai Global Sumud Flotilla (GSF) untuk mendesak pembebasan Gaza.
Mereka ialah Setiausaha Agung MCM, Ahmad Safuan Ujar dan Pengarah Media MCM, Tuan Asri Tuan Hussein yang menyertai latihan intensif selama dua hari di Catania, Itali sebagai persediaan asas sebelum melakukan pelayaran penting berkenaan.
Presiden Muslim Care Malaysia, Zulkifli Wahijan berkata, misi itu bukan sahaja membawa mesej keamanan buat Gaza bahkan turut membawa bekalan barangan keperluan asas bagi rakyat Palestin.
Jelasnya, tekanan demi tekanan perlu diberikan agar tentera rejim Zionis membuka semula pintu sempadan sekali gus membenarkan penghantaran bantuan memasuki wilayah bergolak itu.
“Kalau pintu sempadan tidak dibuka sekalipun, kita berharap lebih banyak lori bantuan dibenarkan masuk serta bantuan perubatan dapat diberikan kepada penduduk yang terjejas.
“Bahkan kita juga mengharap gencatan senjata kekal dapat dimeterai supaya keamanan kembali pulih di Gaza,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Isnin lalu, seramai 15 wakil Malaysia berlepas dari Pelabuhan Barcelona, Sepanyol bersama lebih 1,000 peserta dari 44 negara yang menyertai GSF.
Delegasi Malaysia diterajui Sekretariat Sumud Nusantara melalui Cinta Gaza Malaysia (CGM), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan Cinta Salam Malaysia dengan membawa bantuan asas dan mesej solidariti antarabangsa.
Sebanyak 24 kapal flotilla dilepaskan dari Barcelona menuju Gaza dan fasa seterusnya kumpulan kedua delegasi Malaysia akan berlepas dari Itali pada 4 September diikuti kumpulan ketiga dari Tunisia. – UTUSAN










