Dr. Thirunavukarasu kini presiden baharu MMA

Dr. Thirunavukarasu kini presiden baharu MMA

R. THIRUNAVUKASARU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr R Thirunavukarasu, kini dilantik presiden baharu menggantikan Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira.

Dr Thirunavukarasu menyatakan tiga komitmen utamanya sebagai presiden iaitu memperkasa doktor dalam peranan kepemimpinan; memperjuangkan dasar yang adil dan mengembalikan autonomi profesional.

Beliau berkata, beberapa isu mendesak perlu ditangani Kementerian Kesihatan (KKM) termasuk beban kerja berlebihan serta pelaksanaan segera semakan elaun on-call.

“Daripada yuran pengamal perubatan swasta (GP) kepada jawatan kontrak, daripada amalanPentadbir Pihak Ketiga (TPA) kepada reformasi undang-undang perubatan, kita akan mendesak perubahan yang membawa keadilan dan kelestarian.

“Peranan doktor perlu diiktiraf atas kepimpinan mereka dalam menjaga kesihatan rakyat dan membimbing dasar kesihatan negara.

“Sumbangan doktor mesti melangkaui tugas klinikal dan merangkumi kepimpinan, advokasi, dan reformasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr. Thirunavukarasu sebelum ini pernah memegang jawatan Presiden MMA untuk tempoh setahun dan kini kembali mengetuai badan profesional perubatan terbesar di negara ini.

Pada masa sama, beliau menghargai usaha Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad yang konsisten memperjuangkan isu doktor kontrak, pindaan Akta Perubatan 1971 bagi pengiktirafan pakar, pendigitalan serta pelbagai inisiatif kesihatan awam.

Namun katanya, cabaran serius masih wujud termasuk persekitaran kerja yang kadangkala tidak mesra.

“Dasar sifar buli penting, tetapi tanpa penguatkuasaan telus dan bertanggungjawab, ia hanya tinggal dasar di atas kertas.

“Kes pakar patologi forensik, Dr. Jessie Hiu, yang menerima ugutan selepas memberi keterangan dalam inkues Zara Qairina, membuktikan doktor mesti bekerja dalam suasana selamat dan dilindungi daripada gangguan serta ancaman,” katanya.

Beliau turut menegaskan Kertas Putih Kesihatan yang diluluskan secara dwipartisan perlu dilaksanakan secara tuntas agar sektor perubatan negara terus berdaya tahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN