PETALING JAYA: Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Port Dickson, Chegubard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin ditahan selepas dipercayai menyampaikan ceramah berunsur hasutan dan dakwaan tidak berasas berkenaan institusi diraja, semalam.
Penahanan Chegubard, 47, dibuat kira-kira pukul 10.25 malam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, video kes terbabit dikesan tular pada Khamis lalu dalam hantaran akaun TikTok @4mrankiamat yang memaparkan seorang lelaki dikenali sebagai Chegubard sedang menyampaikan ceramah berunsur hasutan.
Katanya, permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah akan dibuat hari ini.
“Siasatan berhubung penularan video tersebut dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian D5 JSJ Bukit Aman sejurus laporan diterima.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kumar berkata, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang sengaja membuat atau menyebarkan kenyataan berunsur hasutan sehingga menimbulkan kegentaran awam serta mengganggu keharmonian masyarakat di Malaysia. – UTUSAN










