Chef Martin Yan mahu jadi duta masakan Melaka

Chef Martin Yan mahu jadi duta masakan Melaka

MARTIN Yan bersama Ab. Rauf Yusoh menjalankan rakaman dokumentari pelancongan masakan di sebuah hotel di Jalan Tun Tan Cheng Lock, Melaka, semalam. - UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Chef popular dunia, Martin Yan yang terkenal dengan rancangan ‘Yan Can Cook’ bersedia untuk menjadi duta kulinari dan pelancongan Melaka, berikutan kerap berkunjung ke negeri ini sejak dua tahun lalu.

Selepas hampir lima dekad menghiburkan jutaan penonton di seluruh dunia, Martin yang berusia 75 tahun mengakui tarikan unik di Melaka membuatkannya kembali ke sini sebanyak tujuh kali dalam tempoh dua tahun setengah.

“Melaka bandar penuh tenaga, warna, budaya dan makanan luar biasa dan ia membuatkan saya tertarik untuk menjadi duta pelancongan menerusi masakan Melaka.

“Rakyat dunia harus datang ke sini, nikmati sungai bersejarah, mural, seni bina dan sajian asli Malaysia, Malaysia rumah kedua saya,” katanya selepas menjalankan rakaman dokumentari pelancongan masakan bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh di sebuah hotel di Jalan Tun Tan Cheng Lock di sini, semalam.

Martin yang sinonim dengan gaya mesra berkata, programnya ‘Taste of Malaysia’ kini ditayangkan di 65 negara, sekali gus menjadi jambatan memperkenal keindahan Malaysia di mata dunia.

“Malaysia masih memiliki sungai terpelihara yang menjadikan ikan sungai dan makanan laut tempatan antara terbaik di dunia. Saya selalu bergurau, sebelum pasport anda tamat tempoh, datanglah ke Melaka. Tahun depan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, masa terbaik untuk melancong ke sini,” katanya.

Sementara itu, Ab. Rauf berkata, kerajaan negeri akan mempertimbangkan pelantikan Martin sebagai duta pelancongan selepas kejayaan melantik selebriti China, Datuk Fan Bingbing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN