KUALA TERENGGANU: Mulai hari ini, seramai 16 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif layak menikmati subsidi petrol RON95 menerusi inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) di semua stesen minyak seluruh negara.
Tinjauan di sekitar bandar raya ini mendapati, keadaan di kebanyakan stesen minyak masih terkawal dengan sistem berfungsi dengan baik tanpa sebarang gangguan.
Suasana juga dilihat lebih meriah berbanding hari-hari sebelumnya apabila lebih ramai pengguna singgah seawal pagi untuk mencuba sistem berkenaan. Menariknya, ada pengguna yang begitu teruja sehingga sanggup menunggu detik 12 tengah malam Ttadi semata-mata mahu menjadi antara yang terawal menikmati kemudahan itu.
Antaranya, Ahmad Hafiyyan Samsuddin, 36, yang mengakui menunggu detik tepat tengah malam sebelum mengisi minyak.
“Biasalah, awal-awal ini rasa teruja sebab itu saya sanggup tunggu untuk isi minyak tengah malam. Bagi saya, prosesnya sangat mudah dan tidak mengambil masa lama. Bagi mereka yang bekerja dan tinggal di kawasan sama, kuota 300 liter sebulan sudah mencukupi. Namun saya harap kerajaan dapat meneliti semula jumlah itu untuk pasangan jarak jauh kerana saya yakin 300 liter tidak mencukupi setiap bulan,” katanya ketika ditemui.
Seorang lagi pengguna, Saiful Lizam, 36, turut berkongsi pengalaman serupa dan mengakui terkejut dengan kelancaran sistem tersebut.
“Sebelum ini apabila baca di media sosial, ramai kata sistem ini menyusahkan tetapi selepas mencuba sendiri ternyata ia cepat dan mesra pengguna. Lebih mengejutkan apabila saya hanya bayar RM5 tetapi pada pam minyak tertera nilai RM6.53, kiranya dapat lebih daripada bayaran sebenar,” katanya.
Tinjauan turut mendapati, rata-rata pengguna tidak berdepan masalah menggunakan MyKad di pam minyak dengan proses transaksi mengambil masa kurang daripada satu minit. – UTUSAN










