‘Berdebar menanti hari bersalin, rahsia dahulu jantina anak.’ - Utusan Malaysia

‘Berdebar menanti hari bersalin, rahsia dahulu jantina anak.’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Genap enam bulan hamil, pelakon, Siti Saleha mengumumkan dirinya bakal membuat pendedahan jantina bayi atau majlis gender reveal bulan depan.

Menurut Saleha, dia lebih selesa untuk merahsiakan jantina cahaya mata sulungnya dahulu selain mahu meraihkannya dalam sebuah majlis yang mengikut adat Jawa.

“Bulan depan saya dan suami akan buat gender reveal sebab suami mahu buat majlis ikut adat jawa ada upacara mitoni, mandi bunga dan sebagainya.

“Setakat ini pun saya sudah mengetahui jantina anak kami cuma akan umumkan pada majlis itu nanti. Sekarang kita rahsiakan dahulu,” katanya.

Meskipun tidak sabar mahu menyambut kelahiran anak sulungnya, pelakon drama 7 Hari Mencintaimu itu masih belum membuat sebarang persiapan selain mahu menikmati fasa kehamilannya dengan bercuti.

“Saya belum buat persiapan lagi sebab saya dalam fasa mahu bercuti sahaja selepas menjalani penggambaran dua bulan lalu. Minggu depan pun saya akan terbang ke Paris. Jadi mood mahu berjalan sahaja,” kongsinya.

Ditanya sama ada dirinya mengalami sebarang alahan mahupun menyedari perubahan pada badannya, Saleha syukur dapat melalui fasa kehamilannya dengan mudah bahkan, selera makannya juga bertambah.

“Saya tidak mengalami sebarang alahan. Saya makan sahaja apa yang saya nak makan. Tetapi saya menjaga pemakanan juga contohnya, kalau mahu kopi saya akan minum sekadar untuk rasa sahaja.

“Saya kuat makan sepanjang mengandung terutamanya pada trimester pertama kalau tak dapat makan sesuatu saya rasa macam mahu bergaduh. Tetapi saya tidak mengidam.

“ Dari segi emosi, tidak begitu ketara tetapi saya selalu lepaskan rasa marah kepada pengurus sekiranya ada perkara yang merimaskan.

“Perubahan bentuk badan lebih ketara tetapi saya tidak terlalu obses mengenainya memandangkan doktor pun sudah sahkan berat saya dan bayi baik-baik saja,” jelasnya.

DEBARAN HARI BERSALIN

Berbaki beberapa bulan sahaja lagi, aktres itu mengakui dirinya sudah mula berdebar memikirkan tentang proses bersalin.

Kata Saleha, dia juga sudah mula membuat rujukan dari kenalan rapat terutamanya, ibunya untuk mendapatkan tips untuk melalui proses bersalin dengan mudah.

“Saya banyak bertanya kepada ibu dan kawan-kawan yang sudah melalui pengalaman untuk bersalin. Setiap wanita melalui proses bersalin yang berbeza-beza.

“Ada yang mudah untuk bersalin, ada yang melalui situasi yang menakutkan. Saya pun masih mencuba untuk kenal perubahan badan saya bagaimana.

“Sekarang pun saya kerap berjalan dan bersenam untuk mudahkan proses bersalin. Tambahan pula, saya tidak mahu hilang momentum itu kerana sebelum mengandung saya rajin bersenam,” katanya.

Saleha juga memaklumkan dirinya sudah merancang untuk menjalani proses berpantang secara tradisional di kampung halaman suaminya, Joshua Fitton di Melaka.

“Saya harap proses bersalin nanti berjalan dengan lancar dan mudah-mudahan saya dapat melahirkan secara normal.

“Saya sangat teruja sebab saya tiada kampung. Jadi semasa pantang nanti saya boleh berehat dengan tenang,” ujarnya
Dalam perkembangan lain, Saleha kini dilantik sebagai duta jenama pakaian tempatan, Muaz Exclusive bersama aktor terkenal, Datuk Aaron Aziz.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN