PUTRAJAYA: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan terus memperkasa pendidikan awal kanak-kanak serta Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) menerusi Belanjawan 2026.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, prasarana bagi Taman Bimbangan Kanak-Kanak Jabatan Kemajuan Masyarakat (Tabika Kemas) Pra Tahfiz dan kanak-kanak autisme merupakan antara sasaran yang bakal dipertingkatkan.
“Apa yang kita tumpukan pada tahun lalu akan diteruskan, namun ada beberapa fokus yang harus kita lihat, pertama adalah untuk menyebar luaskan peranan Tabika Kemas @ Pra Tahfiz. Kini terdapat 10,883 tabika yang kita telah mulakan Juzuk 30 untuk murid atau anak-anak yang berumur tiga hingga enam tahun.
“Jumlah yang telah menyertai ialah 125,000 murid dan insya-Allah kita sasarkan penambahan lagi menjadikan 140,000 murid pada tahun hadapan.
“Kita juga akan menghantar guru-guru Tabika Kemas ini untuk mendalami pengajaran pedagogi yang selama ini dibuat secara konvensional dan kita akan melakukan beberapa transformasi,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan warga Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata, KKDW turut merancang memperluas kewujudan Tabika autisme di setiap negeri menjelang 2027, yang telah dimulakan dengan tiga lokasi di Melaka pada tahun ini.
“TVET juga kita akan lebih perkukuhkan terutamanya TVET yang di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan juga agensi-agensi di bawah KKDW,” katanya. – UTUSAN











