Bakat tinggi teknologi AI, semikonduktor antara keutamaan Belanjawan 2026

Bakat tinggi teknologi AI, semikonduktor antara keutamaan Belanjawan 2026

ANWAR Ibrahim beramah mesra selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan ke-9 (ICOSH 2025) di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan Oktober depan bakal memberi tumpuan khusus kepada usaha melahirkan bakat baharu berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor, bagi memenuhi permintaan mendesak industri berteknologi tinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan melihat keperluan mendesak untuk mempercepatkan program latihan dan kesejahteraan rakyat dalam melengkapkan generasi muda dengan kemahiran terkini.

“Ini antara keutamaan kita dalam belanjawan kali ini (dibentangkan pada) bulan depan Insya-Allah. Kita terpaksa melihat semula mengenai pencapaian dan apa yang diperlukan untuk memberi dukungan.

“Ia supaya dipercepatkan dengan kadar yang lebih pantas lagi (bagi) program latihan dan kesejahteraan yang diperlukan untuk mengangkat martabat dan keupayaan anak-anak kita,” katanya ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan (ICOSH) 2025 di sini, hari ini.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan turut menambah peruntukan dalam Belanjawan 2026 bagi mempercepat pembangunan kemahiran anak muda dalam bidang AI, teknologi digital dan kejuruteraan.

Anwar menegaskan, langkah itu selari dengan pelaksanaan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan perkembangan pesat industri semikonduktor yang memerlukan lebih ramai tenaga kerja mahir.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada universiti dan kementerian kerana mempercepat penubuhan fakulti AI yang sebelum ini berdepan halangan birokrasi.

Jelas beliau, usaha itu penting bagi memastikan program pembangunan bakat dalam sektor AI, digital serta industri elektrik dan elektronik (E&E) dapat dipercepat supaya Malaysia tidak ketinggalan dalam persaingan global. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN