KUALA LUMPUR: Terus menempa nama di persada seni antarabangsa, pelakon, Arfie Shah kini dilamar sebuah produksi dari Taiwan untuk membintangi drama bersiri terbaharu mereka.
Menurut Arfie, tawaran tersebut merupakan batu loncatan yang cukup bermakna untuk portfolionya meskipun tidak memegang watak utama.
“Saya anggap tawaran ini sebagai rezeki besar. Walaupun bukan watak utama, bagi saya dapat terlibat dalam produksi luar negara sudah cukup bermakna.
“Mereka percaya dengan bakat saya walaupun saya orang luar. Itu yang buat saya lebih bersemangat untuk buktikan kemampuan,” katanya.
Dalam masa sama, pelakon berusia 28 tahun itu menyifatkan kejayaannya menembusi pasaran industri seni Taiwan secara tidak langsung membuka ruang untuk pelakon Malaysia dikenali di pentas antarabangsa.
“Jika sebelum ini saya terlibat dengan drama produksi Singapura, kini Taiwan pula beri peluang. Saya percaya rezeki Allah luas, cuma kita kena sentiasa berusaha dan berdisiplin.
“Saya juga jadikan pengalaman ini sebagai satu pembelajaran kerana budaya kerja mereka berbeza. Dari situ kita dapat tambah ilmu dan tingkatkan kualiti lakonan,” jelasnya.
Ditanya bagaimana dirinya dilamar oleh produksi Taiwan, Arfie menganggap berkemungkinan mereka mula menyedari bakatnya ketika membintangi siri X-Change.
“Pihak produksi Taiwan ada menghubungi pengurusan saya dan meminta saya mengosongkan jadual kerana mereka mahu tawarkan sebuah drama bersiri.
“Saya percaya mungkin mereka nampak lakonan saya menerusi siri drama X-Change yang pernah ditayangkan di sebuah platform penstriman digital sebelum ini,” kongsinya.
Bakal menjalani penggambaran di Taiwan pada awal Oktober ini, pelakon filem Impak Maksima 2 itu turut meluahkan rasa syukur apabila usaha dan pengorbanannya kini mula membuahkan hasil.
“Saya pernah melalui fasa sukar dalam kerjaya, ada masa kerja kurang dan ada masa hampir putus asa.
“Tapi saya percaya setiap orang ada masa masing-masing. Sekarang saya nampak sedikit demi sedikit pintu rezeki itu terbuka,” katanya.-UTUSAN