LANGKAWI: Lapan lagi mayat disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) yang lemas akibat tragedi bot karam di perairan sempadan Malaysia–Thailand ditemukan, semalam.
Semua mayat termasuk dua kanak-kanak lelaki itu dijumpai setelah operasi hari ketiga disambung semula Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bersama agensi lain sejak pukul 7.30 pagi semalam.
Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi menerima laporan awam mengenai penemuan mayat lelaki dewasa berhampiran Pulau Beras Basah pada pukul 10.40 pagi.
“Bot Benteng 7 segera digerakkan ke lokasi dan mayat dibawa ke Jeti Maritim Malaysia sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Tidak lama selepas itu, Kapal Maritim (KM) Siangin menemukan satu mayat kanak-kanak lelaki terapung di perairan Tanjung Cincin dan satu lagi mayat yang belum dikenal pasti identiti di lokasi sama,” katanya.
Romli berkata, mayat keempat iaitu kanak-kanak lelaki ditemukan oleh bot Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) FCB 1331 di kawasan Tanjung Belua pada pukul 11.20 pagi.
Katanya, jumlah mangsa yang terkorban setakat ini adalah 16 orang yang ditemui di sekitar perairan Langkawi manakala PATI yang diselamatkan di negara ini ialah 13 orang setakat petang semalam.
Sementara itu, pihak berkuasa Thailand turut menemukan sembilan mayat di perairan negara berkenaan setakat ini.
Ujar Romli, Maritim Malaysia bersama semua agensi terlibat komited dalam usaha mengesan mangsa lain yang belum ditemui.
“Walaupun laut bergelora dan keluasan kawasan pencarian menjadi cabaran utama, operasi diteruskan dengan mengutamakan aspek keselamatan serta ketepatan pencarian,” katanya.
Beliau berkata, seramai 130 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi pencarian semalam melibatkan 11 aset. –UTUSAN










