MUNICH: Pengendali Jerman, Julian Nagelsmann tampil mempertahankan anak buahnya, Florian Wirtz yang kini bergelut menyesuaikan diri bersama Liverpool, sambil menyindir secara halus keadaan ‘tidak stabil’ kelab gergasi England itu di bawah kendalian Arne Slot.
Wirtz yang berpindah ke Anfield dengan nilai lumayan 116 juta pound (RM692 juta) dari Bayer Leverkusen pada musim panas lalu, setakat ini gagal menonjol dalam 11 penampilan Liga Perdana Inggeris (EPL) tanpa sebarang gol atau bantuan jaringan.
Pemain berusia 22 tahun itu, hadir dengan reputasi besar selepas membantu Leverkusen menjulang kejuaraan Bundesliga musim lalu, namun kini menjadi sasaran utama kritikan penyokong The Reds selepas prestasi hambar dalam kekalahan 0-3 kepada Manchester City di Etihad.
Bagaimanapun, Nagelsmann meminta semua pihak tidak terlalu cepat menghukum Wirtz, sebaliknya memahami situasi tidak menentu yang sedang melanda skuad Liverpool ketika ini.
“Secara jujur, situasi di kelab itu sendiri tidak mudah. Liverpool musim ini tidak sekuat tahun lalu, dan agak sukar untuk pemain baru seperti Florian menyesuaikan diri,” katanya menjelang aksi kelayakan Piala Dunia menentang Luxembourg dan Slovakia.
Jurulatih berusia 37 tahun itu turut menyentuh kekecewaan terhadap rakan sepasukan Wirtz yang gagal menyempurnakan peluang hasil gerakan dicipta pemain muda itu.
“Kita semua tahu kemampuan sebenar Florian. Kadang-kadang dia mencipta peluang, tetapi rakan-rakan lain tidak berjaya menyudahkannya. Itu juga sebahagian daripada masalah,” tegas Nagelsmann.
Bekas pertahanan Manchester United, Gary Neville, bagaimanapun tidak sependapat dan menganggap prestasi Wirtz amat mengecewakan ketika menentang City.
“Dia dibeli dengan harga 116 juta pound, tetapi kelihatan seperti budak kecil di tengah padang. Dia perlu bangkit segera kerana statusnya sebagai pemain antarabangsa Jerman tidak boleh dijadikan alasan,” katanya.
Pandangan sama turut dikongsi bekas bintang Belanda, Wesley Sneijder, yang memberi amaran Wirtz mungkin akan menamatkan karier lebih awal di Anfield sekiranya gagal menyesuaikan diri dengan corak pantas Liga Perdana.
Wirtz kini berpeluang menebus reputasinya bersama skuad Jerman dalam aksi antarabangsa minggu ini, sebelum kembali bersama Liverpool dalam saingan Liga Juara-Juara menentang PSV Eindhoven dan seterusnya aksi liga berdepan West Ham. – AGENSI/UTUSAN










