JOHOR BAHRU: Kegiatan sindiket menjadikan sebuah apartmen di Taman Delima 2 di sini sebagai ‘port’ membancuh ekstasi terbongkar, susulan penangkapan sepasang kekasih dan seorang lelaki yang berperanan sebagai ‘ahli kimia’ dalam beberapa siri operasi di daerah ini, Sabtu lalu.
Dalam serbuan pertama yang dilaksanakan bermula pukul 10.35 malam, pasangan kekasih itu diberkas ketika menginap di sebuah hotel di Taman Sentosa.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, kedua-dua mereka dipercayai berperanan sebagai pengedar kepada sindiket berkenaan.
“Ketika serbuan di hotel berkenaan, polis menjumpai dan merampas tiga botol berisi cecair disyaki dadah jenis ekstasi sebanyak 1.5 liter. Hasil siasatan ke atas kedua-dua suspek, polis melakukan serbuan kedua di tepi Jalan Sutera 3, Taman Sentosa dan berjaya menahan seorang lelaki tempatan.
“Pemeriksaan ke atas suspek ini membawa kepada penemuan dua katrij vape mengandungi empat mililiter (ml) cecair disyaki ekstasi serta tiga peket serbuk ekstasi seberat 119.50 gram,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.
Ab Rahaman berkata, polis melakukan serbuan ketiga di sebuah apartmen di Taman Delima 2 dan menemui pelbagai jenis dadah dalam rumah sewa berkenaan.
Katanya, dadah yang dirampas ialah 64 peket serbuk mengandungi dadah ekstasi seberat 4.24 kilogram (kg), 132 botol mengandungi cecair ekstasi (112.22 liter), 67 peket dan 20 bekas mengandungi dadah MDMA (19.79kg), 74 katrij vape mengandungi cecair ekstasi (148ml). – UTUSAN










