KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan meninjau perkembangan terkini berhubung situasi banjir yang semakin buruk di Sabah, esok.
“Saya akan ke Sabah, esok,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) Ke-46 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.
Majlis turut dihadiri Presiden AIPA, Tan Sri Johari Abdul melibatkan penyertaan 25 delegasi antarabangsa sehingga 22 September ini.
Baru-baru ini, Anwar meluluskan peruntukan segera sebanyak RM10 juta melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi membantu mangsa banjir di Sabah.
Dana itu akan disalurkan terus kepada mangsa yang terkesan khususnya untuk pembaikan segera kemudahan asas.
Setakat pukul 8 pagi tadi, jumlah mangsa banjir di Sabah terus menunjukkan peningkatan dengan seramai 3,193 penduduk daripada 916 keluarga kini ditempatkan di 128 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah.
Sejak 9 September lalu, keadaan banjir di Sabah dikejutkan dengan beberapa siri kejadian tanah runtuh dan sehingga kini jumlah kematian adalah sebanyak 14 orang.
Lokasi paling teruk terjejas ialah Kampung Cenderakasih di Kota Kinabalu dengan tujuh terkorban termasuk empat kanak-kanak berusia antara dua hingga sembilan tahun. – UTUSAN










