Anwar terima Anugerah Kepemimpinan Kewangan Islam Global 2025

Anwar terima Anugerah Kepemimpinan Kewangan Islam Global 2025

ANWAR Ibrahim menerima anugerah daripada Pengerusi Global Islamic Finance Award, Dr. Humayon Dar (kanan) sambil diperhatikan oleh bekas Presiden Maldives, Dr. Mohamed Waheed Hassan (kiri) pada Anugerah dan Sidang Kemuncak Kewangan Islam Global Tahunan Ke-15 di Hotel Four Seasons, Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerima Anugerah Kepemimpinan Kewangan Islam Global 2025 (GIFA) sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinannya dalam memperkukuh institusi kewangan Islam di peringkat antarabangsa.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, penganugerahan itu bukan sahaja penghormatan kepada dirinya tetapi juga mencerminkan kejayaan Malaysia yang telah lama menjadi peneraju kewangan Islam.

Katanya, pengiktirafan tersebut adalah hasil komitmen pelbagai pihak termasuk penggiat industri, akademik dan aktivis yang sejak awal memperjuangkan perkembangan kewangan Islam.

“Peranan saya hanyalah menggalakkan tetapi kejayaan ini sebenarnya milik semua yang telah berkorban dan menunjukkan dedikasi penuh terhadap pembangunan kewangan Islam,” katanya ketika menerima anugerah itu di sini hari ini.

Menurutnya, Malaysia akan terus memainkan peranan penting dalam mengangkat kewangan Islam agar kekal berdaya saing dan relevan di peringkat global.

Katanya, usaha ini akan diperkukuh dengan pelaburan berterusan dalam pembangunan bakat, pengukuhan kawal selia serta inovasi baharu.

“Marilah kita pastikan kewangan Islam terus berasaskan keadilan, etika dan kemampanan demi kesejahteraan manusia sejagat,” katanya.

Untuk rekod, Anwar merupakan Perdana Menteri kedua menerima anugerah ini selepas Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Antara penerima lain juga termasuklah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni.

“Fokus beliau terhadap pendidikan, pembangunan mampan, dan ekonomi yang adil telah mengilhamkan dasar-dasar yang memberi kesan besar, bukan sahaja kepada Malaysia, tetapi juga kepada dunia Islam dan masyarakat antarabangsa,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×