AMK buat laporan polis, ugutan bunuh terhadap Perdana Menteri

AMK buat laporan polis, ugutan bunuh terhadap Perdana Menteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) membuat dua laporan polis berhubung video tular ugutan bunuh terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh seorang lelaki semasa operasi pengosongan 37 unit rumah teres Kampung Sungai Baru, Kampung Baru di sini, hari ini.

Ketua Penerangan AMK Kuala Lumpur, Mohammad Rais Hamda berkata, laporan itu dibuat oleh AMK Kuala Lumpur dan AMK Selangor di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, kira-kira pukul 8 malam tadi.

“Kami di barisan anak muda menegaskan bahawa kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan ugutan bunuh seperti ini yang boleh menjejaskan keharmonian yang telah lama kita bina di negara ini.

“Kami berharap kertas siasatan akan dibuka dan pihak polis mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pelaku berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan berkenaan.

Terdahulu, tular satu video di platform TikTok memaparkan seorang lelaki membuat ucapan mengandungi ugutan kepada Anwar ketika insiden kekecohan semasa operasi pengosongan di Kampung Sungai Baru.

Berdasarkan video terbabit, lelaki itu berkata, pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didakwa merancang untuk membunuh Perdana Menteri.

“Itu jangan sampai saya buat betul-betul,” katanya dalam video berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintenden Nuzulan Mohd. Din mengesahkan menerima laporan berkenaan dan kes akan disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

“Seksyen kepada siasatan berkenaan bagaimanapun belum diklasifikasikan buat masa ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN