MUAR: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu parti itu akan bertanding menggunakan logo sendiri sekiranya tidak dibenarkan mengguna logo Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Katanya, Bersatu juga tidak akan terkubur walaupun terpaksa bergerak diluar gabungan PN susulan perkembangan terkini politik tempatan.
“Jika menggunakan nama PN, ada empat parti didalamnya, Bersatu, Pas, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dan juga Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).
“Tetapi jika keluar PN, kita akan cari gabungan baharu kerana Bersatu tidak akan mati. Sebagai sebuah parti politik kita akan abadi, kita akan jadi parti yang lebih besar,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Bersatu sempena PRN Johor ke-16, di Bakri, di sini malam ini.
Tambah Ahli Parlimen Pagoh itu, Bersatu dibarisi kepimpinan dan individu berkaliber yang layak untuk mengemudi Johor ke tahap lebih tinggi sesuai dengan potensi besar dimiliki negeri ini.
“Jangan perlekehkan kami, jangan perbodohkan kami, kami ada kekuatan, kami ada semangat. Bersatu ada kelayakan dan pengalaman untuk mentadbir negeri ini.
“Barisan kepimpinan kita terdiri daripada empat bekas Menteri Besar, iaitu saya, Datuk Dr. Sahruddin Jamal (Johor); Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Selangor) dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Perak),” katanya.
Pada majlis itu, Muhyiddin yang juga merupakan bekas Perdana Menteri turut menyempurnakan gimik pelancaran dengan menyerahkan bendera kepada wakil jentera di kesemua bahagian parti berkenaan di negeri ini.-UTUSAN










