MUAR: Ahli dan jentera Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diingatkan agar tidak lemah semangat ketika parti sedang mempersiapkan jentera bagi menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, tidak lama lagi.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebaliknya berkata, Bersatu yang dipimpin Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu membuat kejutan bagi memastikan pihaknya berjaya mendapat mandat rakyat.
Menurut beliau, rekod kepimpinan dan kemampuan mentadbir Muhyiddin telah terbukti khususnya ketika menjawat jawatan Perdana Menteri ketika tempoh pandemik Covid-19.
“Kita lihat kepimpinan Tan Sri Muhyiddin sudah teruji, progresif dan sederhana bagi menjaga kebajikan dan kesejahteraan semua rakyat.
“Beliau antara tokoh negara yang mendapat pengiktirafan dunia terutama dalam melakukan pengurusan negara ketika berdepan krisis kesihatan,” katanya berucap pada program Pelancaran Jentera PRN Johor ke-16, di Bakri di sini malam ini.
Tambah Mohamed Azmin, ramai pihak cemburu kemampuan Muhyiddin untuk mentadbir negara dan negeri dengan baik sekiranya diberikan mandat oleh rakyat Johor.
Sementara itu, Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal pula memberitahu, semua ahli Bersatu perlu setia dengan kepimpinan parti sedia ada dan menyokong calon yang ditampilkan pada PRN Johor ini.
“Setiap jentera perlu menyantuni pengundi di semua kawasan, kita yakin boleh mendapatkan kemenangan,” kata bekas Menteri Besar Johor itu.-UTUSAN










