PETALING JAYA: Seramai 349 individu ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah menerusi Op Cantas Bersepadu yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di beberapa daerah di Selangor bermula 18 hingga hari ini.
Operasi khas yang dijalankan secara bersepadu itu melibatkan kerjasama antara Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Cawangan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Pasukan Gerakan Udara (PGU), Jabatan Imigresen Malaysia serta pihak berkuasa tempatan (PBT).
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar, berkata, tangkapan itu melibatkan 280 lelaki dan 69 wanita berusia antara 20 hingga 83 tahun, termasuk 85 warga asing.
Menurutnya, Op Cantas Bersepadu memfokuskan usaha mengesan dan menangkap individu yang disenaraikan sebagai orang dikehendaki selain mengesan kumpulan jenayah terancang yang dikenal pasti.
“Operasi ini turut menyasarkan tindakan melumpuhkan sumber kewangan kumpulan jenayah melalui penguatkuasaan terhadap premis yang dipercayai menjadi sumber pembiayaan kegiatan mereka.
“Sebanyak 235 serbuan dan pemeriksaan dijalankan di premis perniagaan, kawasan kediaman serta tapak pembinaan yang dikenal pasti sebagai lokasi sasaran.
“Daripada keseluruhan tangkapan, lima individu merupakan orang dikehendaki di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), manakala 34 lagi dikehendaki bagi kes jenayah kekerasan dan jenayah harta benda,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kesemua yang ditahan disiasat mengikut pelbagai peruntukan undang-undang termasuk Kanun Keseksaan, Akta Imigresen 1959/63, Akta Peniaga Sekendhend 1946, Akta Pertubuhan 1966 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam operasi sama, katanya, dua pusat hiburan didapati beroperasi tanpa lesen hiburan manakala 13 premis perniagaan dipercayai menggaji pekerja warga asing tanpa pas atau permit yang sah.
Jelasnya, PBT turut mengeluarkan kompaun terhadap beberapa pemilik premis yang melakukan pelbagai kesalahan berkaitan lesen perniagaan. – UTUSAN









