PETALING JAYA: Seramai 78,883 calon lepasan Matrikulasi, STPM, Asasi, STAM serta Diploma dan setaraf ditawarkan tempat pengajian di Universiti Awam (UA) bagi sesi kemasukan Ijazah Sarjana Muda tahun ini.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkata, jumlah itu bersamaan 71.80 peratus daripada keseluruhan 109,866 permohonan yang diterima melalui sistem UPUOnline.
“Sebanyak 1,132 program pengajian Ijazah Sarjana Muda ditawarkan pada sesi kemasukan kali ini.
“Kemasukan pelajar dibuat berdasarkan prinsip meritokrasi dengan menyusun semua calon yang layak mengikut markah merit tertinggi hingga terendah,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, bagi calon yang tidak menerima sebarang tawaran, kementerian menyediakan peluang kedua melalui proses rayuan di UPUOnline.
“Proses rayuan itu dibuka selama 10 hari, bermula 5 September 2025 jam 12 tengah hari hingga 14 September 2025 jam 5 petang,” katanya.
Dalam pada itu, KPT turut merakamkan penghargaan dan mengucapkan selamat maju jaya kepada calon yang berjaya menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi. – UTUSAN











