BINTULU: Seramai 35 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditangkap dalam serbuan yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak di sini, pada awal pagi hari ini.
JIM Sarawak menerusi satu kenyataan berkata, kesemua mereka ditahan dalam operasi bersepadu yang melibatkan seramai 32 anggota Unit Penguatkuasaan dari Bahagian Sibu, Miri dan Bintulu hasil risikan dan pemantauan rapi pihaknya terhadap aktiviti mencurigakan di beberapa lokasi dikenal pasti.
JIM Sarawak berkata, dalam Ops Sapu yang dijalankan pada pukul 2.30 pagi, serbuan pertama dilakukan ke atas sebuah rumah kongsi di kawasan pemprosesan kayu yang membawa kepada penahanan sembilan individu terdiri daripada enam lelaki dan tiga perempuan.
Katanya, serbuan kedua dibuat di sebuah rumah dalam kawasan hutan berhampiran, menyaksikan penahanan 23 individu, terdiri daripada 13 lelaki dan 10 perempuan.
Sementara itu dalam operasi berasingan Ops Gegar pada pukul 5 pagi, serbuan dilakukan ke atas sebuah bangunan tiga tingkat yang dipercayai dijadikan pusat panggilan bagi operasi kegiatan perjudian dalam talian dan tiga warga asing telah ditahan dalam serbuan tersebut.
“Kesemua individu yang ditahan disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan telah dibawa ke depot tahanan bagi siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – UTUSAN










