PETALING JAYA: Seramai 321 mahasiswa dari 20 pusat pengajian di seluruh negara telah ditauliahkan sebagai pelatih Briged RELA Siswa Siswi (RELASIS) menerusi majlis yang diadakan di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Kampus Alam UniMAP, Pauh Putra, hari ini.
Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dalam kenyataannya berkata, RELASIS merupakan platform strategik bagi membangunkan jati diri mahasiswa serta menyemai nilai patriotisme.
Katanya, RELASIS bukan sekadar pasukan beruniform, malah turut melahirkan pelapis kepimpinan muda yang berpegang teguh kepada integriti sebagai ejen perpaduan dalam masyarakat serta menyumbang tenaga dan kepakaran masing-masing.
“Seiring dengan Konsep Malaysia Madani yang menekankan nilai-nilai kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan, RELASIS berperanan dalam memberikan khidmat bakti kepada masyarakat serta saling menghormati.
“Sejak 2010, RELASIS menjadi platform membimbing mahasiswa menghayati semangat kesukarelawanan, disiplin, kepimpinan dan patriotisme.
“Sehingga September tahun ini, program ini telah mencatatkan lebih 1,870 anggota berdaftar melibatkan 31 institusi pengajian tinggi awam dan swasta dengan purata 649 anggota aktif setiap tahun menyertai pelbagai aktiviti komuniti, latihan dan program kemasyarakatan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, program berkenaan membuktikan RELASIS terus menjadi platform unggul dalam membina semangat kesukarelawanan, kepimpinan serta patriotisme dalam kalangan mahasiswa.
Katanya, ini selaras dengan aspirasi negara membentuk generasi muda yang berdedikasi kepada masyarakat.
Majlis pentauliahan itu dimeriahkan dengan penyampaian Anugerah Pelajar RELASIS Terbaik bagi setiap kategori iaitu Kategori Keseluruhan Terbaik, Kategori Kepimpinan Terbaik, Kategori Disiplin Terbaik dan Kategori Kawad Terbaik.
Ia turut menyaksikan penganugerahan Pangkat Ahli Kehormat Bersekutu RELA (AKBR) RELASIS serta penganugerahan Pingat RELA kepada pelatih yang cemerlang. – UTUSAN








