PETALING JAYA: Seramai 16 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas, meliputi 99.3 peratus pengguna menerima manfaat hasil inisiatif Budi Madani RON 95 (BUDI95) hari ini.
Langkah bersejarah bagi mengurangkan defisit negara itu sekaligus memberi penjimatan dan menutup peluang kepada ketitiran pembelian RON95 apabila pengecualian subsidi dikenakan terhadap warga asing, perniagaan yang tidak layak dan kenderaan pendaftaran asing.
Di bawah mekanisme baharu ini, rakyat yang memiliki lesen memandu sah layak membeli 300 liter petrol pada harga RM1.99 seliter, berbanding harga semasa RM2.05 seliter.
Manakala pemandu e-hailing dikecualikan daripada siling kelayakan berkenaan dan boleh memohon kelayakan tambahan bagi memastikan kelangsungan pekerjaan mereka.
Penurunan harga RON95 daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter, membuktikan komitmen kerajaan membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Pelaksanaan program berkenaan dijangka memberi penjimatan kepada kerajaan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion, bergantung kepada turun naik harga pasaran minyak dunia.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, dalam sesi taklimat baru-baru ini, dilaporkan berkata, pelaksanaan program BUDI95 kepada rakyat yang layak juga memberikan penjimatan sehingga kira-kira RM200 sebulan.
Katanya, harga sebenar pasaran RON95 sejak kebelakangan ini yang dianggarkan berada dalam lingkungan RM2.60 hingga RM2.75 seliter, membuktikan kerajaan memberikan subsidi dalam jumlah yang agak besar.
Harga dekat pam minyak harga RM2.60 bererti penjimatan kepada rakyat hampir RM183 sebulan, manakala sekiranya harga RM2.75 jimat RM228.00 sebulan.
BUDI95 diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 22 September, dilaksanakan secara berperingkat sejak 27 September melibatkan 300,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pelaksanaan BUDI95 untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dilaksanakan pada Ahad lalu.
Hampir 500,000 daripada keseluruhan 6.1 juta penerima STR, bersama anggota ATM dan PDRM direkodkan melakukan transaksi BUDI95 di stesen minyak di seluruh negara pada hari kedua inisiatif ini.
Sebanyak RM22.9 juta bagi 11.5 juta liter petrol RON95 dicatatkan dalam tempoh dua hari, menunjukkan sambutan menggalakkan daripada kumpulan yang layak seperti anggota tentera, polis serta penerima STR.
Dalam pada itu, seramai 8.6 juta pengguna telah membuat semakan kelayakan menerusi portal BUDI95 untuk menerima manfaat tersebut. – UTUSAN










