PETALING JAYA: Isu pelarian Rohingya yang telah berlarutan lebih tiga dekad di negara ini memerlukan mekanisme pengawalan secara menyeluruh bagi memastikan cabaran diplomatik itu dapat ditangani di peringkat ASEAN.
Pakar Undang-Undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Salawati Mat Basir berkata, masalah itu bukanlah isu baharu kerana ia telah berlarutan sejak sekian lama sehingga melibatkan tiga generasi pelarian yang menetap di negara ini.
Katanya, meskipun Malaysia kini mempengerusikan ASEAN, isu tersebut tidak seharusnya dianggap sebagai beban baharu kepada negara, sebaliknya perlu dilihat sebagai masalah serantau yang memerlukan kerjasama semua pihak.
“Masalah Rohingya telah sekian lama menjadi beban diplomatik kepada Malaysia. Hakikatnya, isu ini telah lama membebankan negara dan memerlukan mekanisme pengawalan pelarian yang lebih berkesan.
“Malaysia kini menampung kira-kira 192,000 pelarian Rohingya yang semakin mendapat tentangan rakyat tempatan sekali gus menyukarkan negara untuk bergerak secara bersendirian. Semua negara ASEAN perlu memainkan peranan kerana punca masalah ini adalah keadaan di Myanmar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan, Bangladesh memohon bantuan Malaysia mencari jalan penyelesaian krisis etnik Rohingya yang disifatkan masalah besar kepada negara itu.
Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh, Dr Muhammad Yunus dilaporkan berkata, pihaknya memandang tinggi peranan Malaysia khususnya sebagai Pengerusi ASEAN untuk membantu menggerakkan usaha diplomatik menyelesaikan isu berkenaan di peringkat serantau.
Mengulas lanjut mekanisme pengawalan pelarian, Salawati berkata, ketiadaan sistem yang jelas menjejaskan keupayaan negara untuk membantu menyelesaikan krisis di luar.
Katanya, langkah terbaik adalah menyelesaikan isu pelarian dalam negara terlebih dahulu sebelum memberi tumpuan kepada penyelesaian di peringkat serantau.
“Selama ini isu pelarian seolah-olah disorokkan daripada perhatian umum sedangkan Malaysia juga bukan penandatangan kepada Konvensyen Pelarian.
“Jika keadaan dalam negara pun belum diuruskan dengan baik, sukar untuk kita menyelesaikan krisis di negara lain,” katanya.
Sementara itu, Pakar Geostrategis, Dr. Azmi Hassan berkata, krisis di Myanmar boleh ditangani dengan menyelesaikan isu demokrasi di negara itu terlebih dahulu kerana punca pelarian melarikan diri adalah kerajaan mereka sendiri baik di bawah junta mahupun kerajaan awam pimpinan Aung San Suu Kyi.
Katanya, Bangladesh kini menanggung beban besar dengan menempatkan pelarian Rohingya di kem-kem yang sesak dan tidak selesa manakala di Malaysia mereka mempunyai peluang bekerja bagi menyara kehidupan.
“Malaysia juga telah mencadangkan pada Sidang Kemuncak ASEAN Mei lalu supaya diwujudkan wakil tetap bagi menangani krisis Myanmar yang menjadi punca utama kepada aliran masuk pelarian Rohingya di rantau ini.
“Malaysia mengambil pendekatan lebih tegas berbanding pengerusi ASEAN sebelum ini termasuk menegur dan mengadakan pertemuan dengan pihak junta baru-baru ini melalui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim demi menyelesaikan masalah pelarian yang kini turut menjejaskan Malaysia dan Bangladesh,” katanya.










