Zoo Taiping, BMLR dan Yayasan Pulau Orang Utan perkasakan pelancongan Perak - Utusan Malaysia

Zoo Taiping, BMLR dan Yayasan Pulau Orang Utan perkasakan pelancongan Perak

MOHAMED Akmal Dahalan (tengah) mewakili Zoo Taiping & Night Safari menyaksikan MoU bersama Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) dan Yayasan Pulau Orang Utan di Taiping hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS), Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) dan Yayasan Pulau Orang Utan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membangunkan pakej pelancongan bersepadu yang menghubungkan tiga destinasi utama di negeri ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Mohamed Akmal Dahalan berkata, MoU yang dimeterai tiga pihak berkenaan menjadi langkah penting dalam membentuk rangkaian pelancongan lebih menyeluruh dengan menggabungkan elemen rekreasi, konservasi hidupan liar, pendidikan serta pembangunan komuniti.

Katanya, kerjasama itu bukan sekadar pemeteraian MoU, sebaliknya permulaan kepada usaha membangunkan jaringan pelancongan yang mampu memberi manfaat kepada industri serta masyarakat setempat.

“Apa yang dimeterai hari ini bukan sekadar sebuah Memorandum Persefahaman, tetapi permulaan kepada pembentukan ekosistem pelancongan yang lebih bersepadu di Perak.

“Apabila tarikan pelancongan, institusi konservasi dan pemain industri berganding bahu, manfaatnya bukan sahaja dirasai organisasi terlibat, malah turut dinikmati masyarakat melalui peluang ekonomi, pendidikan dan pembangunan komuniti yang mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani MoU antara MPT, Yayasan Pulau Orang Utan dan BMLR di Dataran Zoo Taiping di sini hari ini.

Menurutnya, kerjasama itu turut membuka peluang memperkenalkan pakej pelancongan yang menghubungkan Taiping di Daerah Larut, Matang dan Selama dengan Bukit Merah di Daerah Kerian sebagai laluan pelancongan baharu yang lebih menarik.

“Antara inisiatif yang bakal dilaksanakan menerusi kerjasama ini termasuk promosi silang antara destinasi, pembangunan produk pelancongan baharu serta program pendidikan konservasi berkaitan hidupan liar dan biodiversiti.

“Penglibatan Yayasan Pulau Orang Utan turut memberi nilai tambah menerusi pendidikan berkaitan pemuliharaan hidupan liar, khususnya kepada pelajar dan generasi muda supaya lebih memahami kepentingan menjaga biodiversiti,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN