TAWAU: Seorang duda dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap menantu perempuannya berusia 14 tahun, tiga tahun lalu.
Hakim, Ahmad Faizadh Yahaya menjatuhkan hukuman itu selepas mempertimbang hujahan mitigasi pihak pembelaan dan faktor pemberatan hukuman yang dikemukakan pihak pendakwaan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh dipenjara mengikut Seksyen 26 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Tertuduh juga diperintah berada dibawah pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara mengikut Seksyen 27 akta sama.
Terdahulu, peguam Mohd Ridwan Usman memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan mengambil kira tertuduh berusia 52 tahun yang pernah diserang sakit jantung dan mengalami masalah pernafasan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Haikal Hazwan Md Yatin memohon hukuman maksimum dikenakan atas alasan kesalahan seksual semakin membimbangkan serta memerlukan hukuman yang memberi kesan pencegahan kepada masyarakat.
Beliau turut berhujah tertuduh mengkhianati kepercayaan mangsa memandangkan dia sepatutnya berperanan melindungi menantunya yang masih remaja.
Mengikut pertuduhan, bekas mekanik itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 14 tahun di sebuah rumah di Kuala Merotai di sini, pada Disember 2022.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. – UTUSAN










