Felda Kemahang 3 rangkul hadiah RM1 juta, juara Anugerah Kecemerlangan Felda - Utusan Malaysia

Felda Kemahang 3 rangkul hadiah RM1 juta, juara Anugerah Kecemerlangan Felda

ANWAR Ibrahim bersalaman dengan Muhammad Azmi Jali yang menerima hadiah Anugerah Kecemerlangan Felda (AKRF) 2026 dimenangi Felda Kemahang 3, Tanah Merah Kelantan pada Sambutan Hari Peneroka 2026 dan 70 Tahun Felda di Stadium Tun Abdul Razak (STAR) Jengka di Maran, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Semangat muafakat, gotong-royong dan perpaduan penduduk menjadi resipi kejayaan komuniti peneroka Felda Kemahang 3, Tanah Merah Kelantan sehingga berjaya merangkul hadiah RM1 juta dalam pertandingan Anugerah Kecemerlangan Felda (AKRF) 2026.

Ketua Peneroka tanah rancangan tersebut, Muhammad Azmi Jali, 61, berkata, kejayaan itu bukan diperoleh dalam tempoh singkat, sebaliknya hasil usaha berterusan seluruh warga peneroka yang sentiasa bekerjasama dalam setiap aktiviti kemasyarakatan.

“Saya bersyukur dan bangga. Ini kali kelima kami menyertai pertandingan dan akhirnya berjaya memperoleh hadiah RM1 juta.

“Kekuatan utama Kemahang 3 ialah semangat gotong-royong. Apabila diadakan program, semua penduduk akan keluar memberikan kerjasama tanpa mengira usia,” katanya ketika ditemui pada Sambutan Hari Peneroka 2026 dan 70 Tahun Felda di Stadium Tun Abdul Razak (STAR) Jengka di sini hari ini.

Menurut Muhammad Azmi, komuniti itu juga sering muncul antara yang terbaik di peringkat Wilayah Gua Musang menerusi pelbagai pertandingan yang dianjurkan Felda.

Katanya, selain kebersihan dan keceriaan kawasan rancangan, Kemahang 3 turut dikenali dengan kekuatan dalam bidang kesenian tradisional seperti dikir barat, rebana ubi dan pelbagai persembahan warisan masyarakat Kelantan.

“Kami sentiasa mengekalkan budaya hidup bermasyarakat dan itulah kekuatan kami sehingga sering mendapat pengiktirafan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengurus Felda Kemahang 3, Mohd. Azizan Nawi, 50, dan seluruh warga peneroka di tanah rancangan itu yang memainkan peranan penting dalam mencipta kejayaan tersebut.

Mengulas tentang hadiah RM1 juta yang dimenangi, Muhammad Azmi berkata, penggunaannya masih dalam peringkat perancangan dan akan diputuskan secara bersama bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati seluruh komuniti peneroka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN