PETALING JAYA: Kerajaan disaran menggubal Akta Koroner bagi memastikan setiap kematian luar biasa, mencurigakan atau tidak dapat dijelaskan disiasat secara telus oleh badan bebas.
Setiausaha Agung, Sekretariat Tanahair, Dr. Armin Baniaz Pahamin berkata, penggubalan akta itu amat penting susulan ketiadaan institusi koroner yang bebas menimbulkan risiko campur tangan dan berat sebelah.
Katanya, risiko berkenaan boleh berlaku dalam kes membabitkan kematian dalam tahanan atau membabitkan agensi penguatkuasaan.
“Jika Malaysia menggubal Akta Koroner, ia sama seperti ‘Coroners Act 2010’ di Singapura atau ‘Coroners and Justice Act 2009’ di United Kingdom (UK) dengan siasatan akan dijalankan mengikut prosedur nasional seragam oleh koroner bebas yang tidak terikat kepada polis atau mana-mana agensi penguatkuasaan.
“Kematian tragis Zara Qairina Mahathir, 13, perlu menjadi pemangkin kepada penggubalan Akta Koroner di Malaysia susulan kes ini menjadi tamparan hebat kepada sistem keadilan negara sekali gus mengundang persoalan besar mengenai ketelusan dan integriti proses siasatan kematian di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dengan adanya Akta Koroner, keluarga mangsa akan mempunyai hak undang-undang untuk mengakses dapatan siasatan, menyoal saksi, dan mengambil bahagian secara bermakna dalam inkues.
“Integriti forensik juga akan diperkukuh dengan autopsi dijalankan di bawah arahan koroner oleh pakar forensik bebas, mengurangkan risiko bukti dimanipulasi atau disembunyikan,” katanya.
Katanya lagi, Akta Koroner membolehkan integriti forensik akan diperkukuh dengan proses bedah siasat atau autopsi dijalankan di bawah arahan koroner oleh pakar forensik bebas selain mengurangkan risiko bukti dimanipulasi atau disembunyikan.
“Negara lain sudah membuktikan keberkesanan sistem koroner bebas seperti di Singapura yang mewajibkan setiap kematian luar biasa dilaporkan kepada koroner berkuasa yang akan mengarahkan autopsi dan memanggil saksi.
“Di UK, koroner bebas menyiasat kematian demi kepentingan awam; manakala di Australia dan Kanada, sistem koroner beroperasi di peringkat negeri atau wilayah dengan kuasa bebas daripada polis, dan laporan mereka sering membawa kepada reformasi dasar serta undang-undang.
“Kebenaran adalah hak, bukan keistimewaan, dan kes Zara Qairina mesti menjadi titik mula kepada reformasi yang sudah terlalu lama tertangguh,” katanya.
Armin Baniaz berkata, dalam kes Zara Qairina, keluarga mendakwa wujud unsur kecuaian dan tanda mencurigakan, namun tiada bedah siasat atau inkues dijalankan pada peringkat awal.
“Apabila proses berkenaan akhirnya dimulakan, ia tetap dikendalikan sepenuhnya oleh pihak polis tanpa mekanisme bebas yang mampu menjamin keputusan telus, berkecuali dan diyakini umum.
“Situasi ini, mendedahkan kelemahan asas dalam sistem perundangan negara iaitu ketiadaan Akta Koroner bebas seperti yang telah lama dilaksanakan di Singapura dan United Kingdom,” katanya.
Beliau berkata, di Malaysia, siasatan kematian dikawal mengikut Kanun Tatacara Jenayah (CPC), yang memberi kuasa kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memulakan siasatan, mengarahkan bedah siasat dan membawa kes ke hadapan majistret untuk inkues, jika perlu.
Namun, katanya, sistem itu memberikan kuasa utama kepada agensi penguatkuasaan yang pada masa sama, mungkin menjadi subjek siasatan, sekali gus mewujudkan konflik kepentingan dan membuka ruang kepada kecuaian.
“Keluarga mangsa sering berdepan halangan besar untuk mendapatkan akses penuh kepada fail siasatan, bukti forensik dan laporan bedah siasat.
“Ketidakseragaman prosedur antara negeri dan daerah bergantung kepada budi bicara pegawai penyiasat dan majistret, memburukkan lagi keadaan,” katanya.










